Pensyarah ITB wakil Fulbright AS-ASEAN

Pensyarah ITB wakil Fulbright AS-ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Seorang pensyarah kanan di Institut Teknologi Brunei (ITB) telah terpilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam sebagai salah seorang Visiting Scholar baru dalam kumpulan ketiga Inisiatif Fulbright AS-ASEAN, yang telah dilancarkan semalam, di Jakarta, Indonesia.

Dr. Tiong Hoo Lim bersama sembilan orang lainnya mewakili negara-negara anggota ASEAN lain akan menyertai kumpulan alumni Fulbright dan menjalankan penyelidikan di Amerika Syarikat (AS) sehingga empat bulan dalam pelbagai topik termasuk entomologi, hak asasi manusia, teknologi dan inovasi, pembangunan mapan, perubahan iklim dan undang-undang antarabangsa.

Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Politik-Keselamatan, V. P. Hirubalan, dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, program berkenaan setentunya akan terus berkembang dalam meningkatkan peluang-peluang pendidikan bagi cendekiawan-cendekiawan ASEAN.

Pada majlis pelancaran di Sekretariat ASEAN, di Jakarta, Duta AS ke ASEAN, Nina Hachigian menekankan bahawa program Visiting Scholars Fulbright AS-ASEAN bermatlamat untuk meningkatkan kerjasama serantau dan perkongsian dengan ASEAN bagi mencapai matlamat bersama iaitu rantau berpaksikan rakyat.

Menurut kenyataan itu, calon-calon menyerahkan permohonan di bawah Inisiatif Fulbright AS-ASEAN mengenai projek-projek penyelidikan yang penting kepada hubungan AS-ASEAN.

Satu panel penilaian yang merangkumi pegawai-pegawai dari Misi AS ke ASEAN, dan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ASEAN dan Sekretariat ASEAN membuat cadangan kepada Presiden yang dilantik Lembaga Biasiswa Asing, J. William Fulbright bagi pertimbangan selanjutnya.

Inisiatif ini diumumkan oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton pada 2012 sempena memperingati 35 tahun persahabatan dan kerjasama antara ASEAN dan AS.

ARTIKEL YANG SAMA