Pentarama Jabatan Penerangan meriah

Pentarama Jabatan Penerangan meriah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 27 Julai – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, semalam, telah mengadakan Persembahan Pentarama Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun di Pentas Perayaan, kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dan isteri.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar, pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Acara tersebut dimulakan dengan tarian ’Menjunjung Duli’ yang dipersembahkan oleh penari-penari AJ Dancers dan diikuti dengan nyanyian lagu ‘Pentarama’ dan lagu Hari Keputeraan oleh beberapa orang artis tempatan.

Haji Adnan dan isteri hadir pada majlis tersebut.
Haji Adnan dan isteri hadir pada majlis tersebut.

Pentarama yang diadakan pada tahun ini menampilkan tiga orang artis warga Jabatan Penerangan yang dicungkil bakat melalui Pertandingan Bintang Penerangan yang diadakan pada April 2016 dan artis-artis tempatan seperti Hasrina, Yaniey dan Rafiz bersama Kumpulan Chemistry Coustic Band.

Pengacara persembahan ialah Awang Mohd Shahrizan Masri dan Hajah Suharizee bin Haji Mohd Said. Persembahan juga dimuatkan dengan sketsa drama yang bertajuk ‘Mel Buah Hati Abang’ yang dipersembahkan oleh Kumpulan Tibadak Betunu dan dihiburkan dengan lawak jenaka daripada Kumpulan Beracun dan Dang Kasum. Penonton persembahan juga diberi peluang untuk ikut serta untuk menjawab kuiz-kuiz yang telah disediakan.

Antara artis-artis persembahan Pentarama yang ikut serta semasa membuat persembahan lagu ‘Pentarama’ dan Hari Keputeraan.
Antara artis-artis persembahan Pentarama yang ikut serta semasa membuat persembahan lagu ‘Pentarama’ dan Hari Keputeraan.
Tarian ‘Menjunjung Duli’ yang dipersembahkan oleh AJ Dancers sebagai pembuka tirai persembahan Pentarama di Daerah Tutong.
Tarian ‘Menjunjung Duli’ yang dipersembahkan oleh AJ Dancers sebagai pembuka tirai persembahan Pentarama di Daerah Tutong.

Antara fungsi Pentarama adalah sebagai alat untuk menyalurkan mesej pendidikan, kenegaraan dan keagamaan kepada masyarakat melalui hiburan, serta menyuntik moral yang positif bagi menyokong dan menggalakkan masyarakat ke arah meningkatkan semangat patriotik, bernegara, bermasyarakat dan berkerajaan.

Persembahan Pentarama akan berakhir di Daerah Temburong pada 29 Julai ini di Pentas Perayaan, Kawasan Padang Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang menyaksikan Pentarama bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menyemarakkan lagi suasana persembahan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA