Pentarama meriahkan perayaan Daerah Belait

Pentarama meriahkan perayaan Daerah Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Julai – Pentarama Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Belait telah diadakan malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat, ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Awang Mawardi bin Haji Mohamad. Turut hadir Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

Anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Pentarama tersebut telah memeriahkan suasana perayaan dengan berbagai-bagai persembahan lakonan, nyanyian dan lawak jenaka daripada artis-artis tempatan yang sudah tidak asing lagi.

Pentarama merupakan antara fungsi sebagai alat menyalurkan mesej pendidikan kenegaraan dan keagamaan kepada masyarakat melalui hiburan dalam menyuntik moral yang positif bagi menyokong dan menggalakkan masyarakat ke arah meningkatkan semangat patriotik, bernegara, bermasyarakat dan berkerajaan.

Sketsa drama bertajuk ‘Mel Buah Hati Abang’ yang telah dipersembahkan oleh Kumpulan Tibadak Betunu.
Sketsa drama bertajuk ‘Mel Buah Hati Abang’ yang telah dipersembahkan oleh Kumpulan Tibadak Betunu.
Persembahan nyanyian daripada salah seorang artis jemputan di Pentarama Daerah Belait.
Persembahan nyanyian daripada salah seorang artis jemputan di Pentarama Daerah Belait.

Terdahulu, acara telah dimulakan dengan tarian Menjunjung Duli yang dipersembahkan oleh Kumpulan AJ Dancer sebagai pembuka tirai, kemudian diteruskan dengan nyanyian lagu tema pentarama dan lagu-lagu Hari Keputeraan, selain beberapa pengisian menarik yang telah disusun.

Pentarama pada tahun ini mempunyai sedikit kelainan, bilamana ia telah menampilkan tiga orang artis warga Jabatan Penerangan yang dicungkil bakat melalui Pertandingan Bintang Penerangan yang telah diadakan pada April lalu serta dengan menampilkan artis-artis tempatan seperti Hasrina, Yanley dan Rafiz diiringi oleh Kumpulan Chemistry Coustic Band.

Selain turut menghiburkan acara ialah persembahan sketsa drama yang bertajuk ‘Mel Buah Hati Abang’ yang dipersembahkan oleh Kumpulan Tibadak Betunu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka daripada Kumpulan Beracun dan Dang Kasum. Selain itu, para penonton juga berpeluang menyertai kuiz yang telah disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA