Pentas perayaan Daerah Tutong diisi pelbagai persembahan

Pentas perayaan Daerah Tutong diisi pelbagai persembahan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Julai – Sambutan Hari Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Tutong turut dimeriahkan dengan persembahan pentas perayaan yang diadakan di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Beberapa acara persembahan pentas telah disusun sepanjang perayaan sehingga 30 Julai ini dan antara persembahan sepanjang minggu ini termasuk Peraduan Lagu-lagu Irama Melayu oleh Kumpulan SURIA Enterprise, Pertandingan Karaoke Kilauan Emas dari Persatuan Belia-belia Kampung Bukit Beruang, persembahan dari Institusi Mukim dan Kampung Daerah Tutong, persembahan bercorak keagamaan, Malam Puisi Keputeraan oleh Majlis Belia Daerah Tutong (MBDT) & Badan Kesenian dan Kebudayaan, (B2K) Daerah Tutong, dan banyak lagi.

Selain itu, pada 23 Julai ini nanti, persembahan akan dianjurkan oleh Jabatan Sekolah-sekolah Menengah & Pusat Tingkatan Enam Daerah Tutong dan seterusnya pada 24 Julai ini akan mengetengahkan persembahan pentas bertemakan ‘Guru Dijulang’ yang akan dikendalikan oleh Kumpulan Bekas Penuntut-Penuntut Sufri Bolkiah English School (SBES) Daerah Tutong.

Manakala itu, pada minggu hadapan, persembahan Bercorak Kebudayaan dan Nyanyian akan dijalankan oleh Persatuan Melayu Keriam (PESAKA) pada 25 Julai, Pentarama oleh Jabatan Penerangan pada 26 Julai, dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Daerah Tutong pula akan mengadakan ‘Pertunjukan Belia Berbakat’ pada 27 Julai, ‘Live Band’ Malam Rentak Evolusi 2016 pada 29 Julai sementara itu, pada 30 Julai, persembahan pentas akan mengetengahkan Persatuan Masyarakat Tionghua Daerah Tutong.

Di samping mengadakan persembahan pentas perayaan, beberapa acara sampingan turut dijalankan seperti jualan mini bazar dan makanan.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung dan hadir menyaksikan Pentas Perayaan di sepanjang malam perayaan sehingga 30 Julai ini, bagi sama-sama memberikan sokongan dan memeriahkan lagi suasana Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70 bagi Daerah Tutong.