Pentingnya kesihatan di tempat kerja

Pentingnya kesihatan di tempat kerja

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) hari ini menganjurkan Forum Mengenai Kepentingan Kesihatan Tempat Kerja, yang berlangsung di Hotel Badi’ah, di ibu negara.

Forum yang dihadiri kira-kira 50 orang itu dianjurkan bersempena penubuhan Perkhidmatan Kesihatan Tempat Kerja yang baru di pusat perubatan itu bagi menilai, memberikan khidmat nasihat dan mengurangkan penyakit berkaitan pekerjaan.

Khidmat itu juga termasuk pemantauan pemeriksaan kesihatan wajib yang khusus menurut bidang kerjaya tertentu, khidmat nasihat dan pengurusan perkhidmatan dan pengurusan perubatan klinikal tempat kerja, program vaksinasi pekerja, penilaian risiko di tempat kerja, pengauditan, latihan keselamatan dan kesihatan tempat kerja bagi para pekerja dan latihan rawatan kecemasan.

Khidmat kesihatan tempat kerja itu disediakan bagi pekerja yang berkhidmat di Negara Brunei Darussalam, termasuk mereka yang bekerja dalam industri pembinaan, minyak dan gas, pembuatan, sektor perkhidmatan, pengangkutan, kewangan dan perniagaan.

Para pesera memberikan sepenuh perhatian dalam forum tersebut.
Para pesera memberikan sepenuh perhatian dalam forum tersebut.

Forum itu dikendalikan oleh Pegawai Perubatan Kanan bagi Kesihatan Tempat Kerja, JPMC, Dr. Nayake Balalla yang membincangkan mengenai beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan tempat kerja.

Turut diterangkan oleh beliau pada forum itu ialah pemantauan kesihatan tempat kerja, peruntukan undang-undang berkaitan kesihatan tempat kerja serta perkhidmatan kesihatan tempat kerja yang disediakan oleh JPMC.

Sejurus selepas forum itu, diadakan sesi soal jawab yang mana para hadirin berpeluang bertanya dengan lebih lanjut lagi dan membincangkan mengenai kesihatan tempat kerja bersama Dr. Balalla.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini JPMC memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang mengistilahkan kesihatan tempat kerja sebagai penggalakan dan penyelenggaraan peringkat tertinggi tahap fizikal, mental dan sosial para pekerja dengan mengawal kesihatan, mengawal risiko penyakit dan menyesuaikan pekerjaan dan pekerja terhadap pekerjaan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA