Pentingnya kontrak perkhidmatan

Pentingnya kontrak perkhidmatan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Nov – Penyediaan kontrak perkhidmatan adalah penting bagi para pekerja dan majikan kerana ia merupakan undang-undang dan peraturan pekerjaan yang telah diperuntukkan di negara ini dalam menangani sebarang isu perburuhan terutama daripada peringkat pengurusan syarikat.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof menekankan, perkara ini perlu sebagai pencegahan dan tidak ada timbulnya masalah perburuhan serta aduan-aduan daripada pekerja yang berhubung kait dengan isu perburuhan.

“Sebagai contoh isu perburuhan yang sering berlaku adalah seperti penamatan kontrak perkhidmatan pekerja secara tidak teratur dan tanpa ada alasan yang kukuh, pembayaran gaji lewat, tidak diberikan hari rehat, tidak dibayar bagi kerja lebih masa dan sebagainya,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Jerayawara Pemberigaan Undang-undang Perburuhan Negara Brunei Darussalam di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, pagi tadi.

Menurut beliau lagi, jika terdapat isu-isu perburuhan, Jabatan Buruh tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti mengurangkan kebenaran (kuota) lesen, membatalkan Lesen Pengambilan Pekerjaan Asing yang telah diberikan dan pekerja diarahkan pulang ke negara asalnya dengan serta-merta.

Haji Rani semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada jerayawara itu.
Haji Rani semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada jerayawara itu.

Mengenai isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, beliau menasihatkan para pemilik syarikat agar lebih proaktif dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja diberikan keutamaan dengan menyediakan persekitaran kerja yang selamat.

Kira-kira 100 orang wakil syarikat di Daerah Tutong hadir pada jerayawara berkenaan yang mendengarkan taklimat-taklimat daripada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Bahagian Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja, Bahagian Piawaian Perburuhan dan Agensi Pekerjaan serta APTK.

Antara lain objektif jerayawara ini adalah untuk memberikan kefahaman dan meningkatkan kesedaran orang ramai terutama para majikan dan pekerja-pekerja di sektor swasta mengenai undang-undang dan peraturan perburuhan di negara ini serta hak-hak mereka selaku majikan dan pekerja yang tertera dalam Perintah Pekerjaan 2009.

ARTIKEL YANG SAMA