Pentingnya kualiti penjagaan kesihatan

Pentingnya kualiti penjagaan kesihatan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Seramai 40 peserta Bengkel Kualiti Penjagaan Kesihatan 2015, yang berlangsung selama dua hari, menerima sijil masing-masing di majlis penyampaian sijil yang berlangsung di  Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku tetamu kehormat.

Semasa menyampaikan ucapan di majlis itu, tetamu kehormat berkata cabaran penjagaan kesihatan adalah untuk terus mengekalkan atau memperbaiki kualiti penjagaan yang diberikan atau mengembangkan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, sementara memperkenalkan perubahan dalam penyampaian penjagaan atau gabungan perkhidmatan yang diperlukan dengan kekangan ke atas sumber-sumber.

Datin Paduka Dr Hajah Norlila turut menyatakan harapan, dengan adanya bengkel ini, para penyedia penjagaan kesihatan akan terus mementingkan kualiti sebagai sebahagian daripada amalan penjagaan setiap hari.

Salah seorang daripada tiga konsultan dari Singapura menerima sijil penghargaan.
Salah seorang daripada tiga konsultan dari Singapura menerima sijil penghargaan.
Antara para peserta bengkel berkenaan.
Antara para peserta bengkel berkenaan.

Menurutnya, penjagaan kualiti yang dipertingkat melibatkan prestasi profesional-profesional penjagaan kesihatan, yang mana kecekapan (apa yang profesional tahu lakukan) tidak semestinya menggambarkan prestasi (apa yang mereka lakukan dalam sesuatu situasi).

Bengkel anjuran Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan ini antara lain bertujuan untuk menambah pengetahuan  dalam meningkatkan kualiti dan keselamatan pesakit bagi memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi.

Selain itu, ia juga berobjektif sebagai platform perkongsian amalan-amalan dalam meningkatkan kualiti dan keselamatan pesakit, untuk memupuk budaya  mementingkan kualiti dalam memberikan penjagaan kesihatan, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan penjagaan pesakit, menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama antara ahli profesional  penjagaan kesihatan, serta menyumbang kepada rancangan masa depan bagi aktiviti peningkatan kualiti.

Tiga konsultan dari Singapura telah dijemput untuk menjadi tenaga pengajar bengkel, iaitu Dr. Ling Moi Lin, Dr Sandhya Mujumdar dan Dr Alvin Chang.

Peserta bengkel terdiri daripada profesional kesihatan termasuk para doktor, jururawat, profesional kesihatan bersekutu, pentadbir kesihatan daripada Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Perkhidmatan Alam Sekitar, Perkhidmatan Saintifik, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Jabatan Dasar dan Perancangan, Hospital dan Klinik Swasta, Pegawai Perubatan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan juga dari Pusat Kesihatan Penaga.

ARTIKEL YANG SAMA