Pentingnya mengamalkan pemakanan sihat

Pentingnya mengamalkan pemakanan sihat

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Pemakanan sihat perlu diamalkan dan dipraktikkan sejak dari kecil lagi bagi mendapatkan kualiti kesihatan yang lebih baik.

Oleh itu kanak-kanak juga perlu diberikan pendidikan pemakanan sihat yang didahului oleh ketua keluarga sendiri.

Pengarah Urusan, Fitness Zone, Wu Chun berkata, pendidikan mengenai pengambilan pemakanan sihat perlu didedahkan kepada ibu bapa agar dapat mengamalkan dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka.

“Dengan pemakanan yang sihat itu mampu memberikan kesihatan yang baik kepada kanak-kanak untuk proses pembesaran mereka, dengan proses pembesaran yang sihat pula akan memberikan kualiti kehidupan yang lebih baik,” ujarnya semasa sidang media di Fitness Zone, Kiulap, hari ini, mengenai acara ‘Belaian Kasih Kesihatan Terbaik Untuk Cara Hidup Berkualiti’.

Menurut beliau, pemakanan sihat itu boleh diperolehi siapa sahaja namun pengetahuan tentang makanan sihat ini adalah terhad bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Wu Chun bersama mereka yang akan terlibat di acara berhibur sambil beramal itu nanti.
Wu Chun bersama mereka yang akan terlibat di acara berhibur sambil beramal itu nanti.
Antara artis yang hadir semasa sidang akhbar itu.
Antara artis yang hadir semasa sidang akhbar itu.

Oleh itu, Persatuan Siswazah Wanita Brunei dengan sokongan Fitness Zone Kiulap akan membantu mendidik mereka yang memerlukan tentang pemakanan yang sihat.

Selain mendidik, Persatuan Siswazah Brunei juga akan bekerjasama dengan Fitness Zone untuk mengadakan pelbagai aktiviti mengumpul dana bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan kualiti hidup seperti orang lain.

Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuklah berhibur sambil beramal yang dinamakan ‘Belaian Kasih Kesihatan Terbaik Untuk Cara Hidup Berkualiti’ yang akan diadakan di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club pada 13 September ini bermula pukul 2 petang hingga 5:30 petang.

Pengurus acara itu, Dayang Siti Kaprawi menjelaskan acara itu dibukakan kepada orang ramai dengan harga tiket $100 seorang.

Dalam acara itu nanti akan menampilkan persembahan nyanyian dan hiburan oleh artis-artis tempatan yang tidak asing lagi seperti Eia, Fakhrul Razi, Aziz Harun, Juju dan beberapa orang artis muda terdiri daripada Hani S, Zoe dan Flora bersama barisan penari-penari Artemyst Dance Crew dan pasukan Fitness Zone.

Tatkala menikmati hidangan hadirin juga bakal dihiburkan dengan telatah Dj Ashraff Rannil dan DJ Livie yang akan menjadi hos acara berkenaan.

Di samping itu juga, Fitness Zone akan memberikan kemasukan ke Fitness Zone selama seminggu secara percuma kepada mereka yang membeli tiket tersebut samada di Fitness Zone cawangan Serusop atau di semua cawangan Coffee Bean & Tea Leaf.

ARTIKEL YANG SAMA