Pentingnya menjaga alam sekitar

Pentingnya menjaga alam sekitar

Oleh Hjh Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 6 Jun – Bersempena memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia, seramai lebih 30 orang sukarelawan dalam kalangan pekerja ekspatriat bersama keluarga mereka, telah menyertai Kempen Membersihkan Tepi Pantai Taman Jubli Perak Jalan Maulana.

Ianya telah dikendalikan oleh dua orang wanita ekspatriat, Padma Chebro-lu dan Marion De Brabander, yang juga merupakan penganjur kempen membersihkan kawasan pantai tahun lalu.

Padma Chebrolu, memberitahu hari ini, kebersihan alam sekitar merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan seharian, sebagai keperluan untuk bernafas dengan merasai suasana yang segar dan bersih.

Menurutnya, memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada setiap awal bulan Jun setiap tahun, dan di negara Barat seperti Amerika Syarikat, ianya merupakan sambutan yang perlu disambut bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga kebersihan dan ianya bukanlah sebagai satu halangan untuk dilakukan demi kepentingan bersama.

Sukarelawan terdiri daripada ekspatriat di Daerah Belait bersama keluarga menyertai Kempen Membersihkan Kawasan Pantai sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia.
Sukarelawan terdiri daripada ekspatriat di Daerah Belait bersama keluarga menyertai Kempen Membersihkan Kawasan Pantai sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia.

“Dengan tema, ‘Berfikir Secara Global dan Menjaga Kehijauan Setempat’ kami sekali lagi mengendalikan kempen pembersihan kawasan tepi pantai ini, selain kerja gotong-royong mengutip sampah sarap, juga turut kami adakan sambutan tahun ini ialah program kesedaran alam semulajadi kepada kanak-kanak sekolah yang diadakan di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) di sini,” kata Padma Chebrolu.

Beliau juga menjelaskan, semua sampah sarap yang telah dikutip di kawasan itu, akan dikumpulkan dan dibuang ke tempat pembuangan tertentu oleh para sukarelawan.

Di samping itu, peserta-peserta kempen juga telah diberikan anak-anak pokok bunga untuk ditanam di

kawasan rumah masing-masing bagi menambahkan lagi suasana kehijauan dan kecantikan serta kesegaran alam persekitaran.

Sementara itu di kawasan Sekolah ISB, kanak-kanak pelajar sekolah tersebut telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai alam sekitar di samping diperkenalkan dengan anak-anak pokok bunga yang diberikan, seterusnya memberi peluang pelajar-pelajar untuk menanamnya sendiri di persekitaran sekolah berkenaan, dengan tujuan supaya mereka menyedari akan peranan dan pentingnya dalam menjaga kebersihan alam sekitar serta mencantikkannya.

ARTIKEL YANG SAMA