Pentingnya menjaga kebersihan telinga

Pentingnya menjaga kebersihan telinga

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Ramai yang menganggap, jika tidak mengorek telinga ia akan menyebabkan kekotoran pada saluran telinga, sebaliknya ia sebenarnya akan menyebabkan telinga kita menjadi rosak.

Pakar Bersekutu Klinik Otolaringologi (ORL / ENT), Pengiran Hajah Norsuhazenah binti Pengiran Haji Suhaili menjelaskan, lelilin telinga (tahi telinga) adalah benda semula jadi yang memang ada dalam saluran telinga, ia berfungsi sebagai pengadang daripada berlakunya apa-apa jangkitan.

“Kalau kita korek saluran telinga, ianya bukan sahaja menyebabkan kerosakan dan luka di dinding telinga malahan kita juga merosakkan potensi lelilin telinga untuk berfungsi sebagai memperlembap dinding yang menghindari daripada jangkitan,” jelas beliau lagi ketika ditemui semasa Jerayawara Hari Penjagaan Telinga yang berlangsung di Atrium, The Airport Mall, Berakas, hari ini.

Jerayawara sehari itu julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan sempena Hari Penjagaan Telinga Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diraikan pada setiap 3 Mac.

Dengan tema ‘Penjagaan kesihatan Telinga dan Pendengaran untuk Semua Lapisan Umur’, jerayawara berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga telinga dengan baik dan tata cara tertentu untuk menyihatkan telinga.

Salah seorang daripada petugas Klinik ORL /ENT menjelaskan penggunaan alat pemeriksaan pendengaran kanak-kanak yang digunakan di Hospital RIPAS.
Salah seorang daripada petugas Klinik ORL /ENT menjelaskan penggunaan alat pemeriksaan pendengaran kanak-kanak yang digunakan di Hospital RIPAS.

Semasa jerayawara ini, orang ramai berpeluang menjalani pemeriksaan telinga secara percuma yang dilaksanakan oleh doktor-doktor dari Klinik Otolaringologi (ORL / ENT) tidak kira sama ada rakyat atau bukan rakyat Negara Brunei Darussalam.

Jika Orang ramai yang menjalani pemeriksaan itu didapati memerlukan rawatan lanjut, mereka akan mereka akan dirujuk ke klinik ORL / ENT, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Selain itu, kanak-kanak juga berpeluang menyertai peraduan mewarna dan melukis bertemakan ‘A trip to ENT Clinic’ dan ‘How Noise can Damage your Hearing’. Karya pemenang utama dalam peraduan melukis akan digunakan sebagai poster rasmi Klinik ORL /ENT.

Manakala itu, ahli-ahli keluarga juga menyertai peraduan mencari harta karun dengan menyerapkan pendidikan mengenai benda-benda yang boleh membahayakan telinga yang sembunyikan di kawasan ruang legar pusat membeli-belah tersebut.