Pentingnya pendidikan mapan

Pentingnya pendidikan mapan

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Negara-negara anggota ASEAN terus menekankan pentingnya untuk mengenal pasti kaedah bagi menyediakan pembangunan pendidikan mapan dengan menumpukan kepada lebih banyak peluang atau akses kepada pendidikan berkualiti, melengkapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran abad ke-21 serta meningkatkan kebolehpasaran graduan-graduan.

Sehubungan itu, Bahagian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam menghoskan Mesyuarat Lembaga Pentadbir Pusat Serantau Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara bagi Pembangunan dan Pendidikan Tinggi (SEAMEO RIHED) ke-23 pada hari ini dan esok, di Hotel Centrepoint, Gadong.

Mesyuarat dua hari bertema ‘Bridging Higher Education (HE) and Technical Vocational Education and Training (TVET) to Create Flexible Education Pathways and to Imporve Students’ Employability’ itu mengetengahkan usaha berterusan organisasi kerajaan serantau dalam mempromosikan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan di rantau Asia Tenggara di mana perbincangan menumpukan kepada penilaian ke atas dasar-dasar dan inisiatif-inisiatif RIHED serta pembentangan laporan tahunan.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Thailand, Profesor Madya Dr. Piniti Ratananukul selaku Pengerusi Lembaga Pentadbir SEAMEO RIHED semasa menyampaikan ucapan di majlis pembukaan mesyuarat berkenaan berkata, landskap pendidikan tinggi masa kini telah berubah secara dramatik dalam menghadapi peningkatan kesalinghubungan masyarakat global dan permintaan pasaran global yang lebih besar.

“Di samping melahirkan tenaga kerja yang berkebolehan dan boleh dipasarkan, sektor pendidikan dijangka memainkan peranan yang lebih penting untuk membantu masyarakat,” tambahnya.

Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain menyampaikan cenderahati kepada Prof Madya Dr. Piniti Ratananukul.
Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain menyampaikan cenderahati kepada Prof Madya Dr. Piniti Ratananukul.
Dr Hazri ketika menyampaikan kata alu-aluan.
Dr Hazri ketika menyampaikan kata alu-aluan.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk pendidikan memberi sumbangan ke arah pembangunan mapan dan membantu menangani isu serantau serta global untuk kesejahteraan masyarakat global.

Dalam perkara ini, Profesor Madya Dr. Piniti Ratananukul memberi galakkan kepada negara-negara ahli, universiti dan pihak berkepentingan untuk membuat usaha bersepadu dalam meningkatkan keupayaan penyelidikan kakitangan dan meningkatkan profil penyelidikan di rantau ASEAN melalui operasi ASEAN Citation Index, pelancaran Penyelidikan ASEAN dan Inisiatif lain pada masa akan datang.

“Sebagai badan-badan dasar pendidikan, menjadi tanggungjawab kita untuk memasukan mekanisme dan sistem berkualiti yang diiktiraf di seluruh dunia dalam memperkasa universiti-universiti untuk menyediakan pendidikan terbaik dan melahirkan warga global yang berkualiti,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan perasaan gembira melihat SEAMEO RIHED telah melibatkan diri dalam program-program projek yang menyasarkan dan menggalakkan pengharmonian pendidikan tinggi serantau dan memupuk kecekapan belia global.

Mesyuarat itu dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pentadbir dari 10 buah negara anggota ASEAN iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Brunei Darussalam yang diwakili oleh Pengarah Perancangan, Pembangunan dan Penyelidikan di Kementerian Pendidikan, Dr. Hazri bin Haji Kifle selaku Ahli Lembaga Pentadbir Brunei Darussalam.

Prof Madya Dr. Piniti Ratananukul dari Thailand menyampaikan ucapan.
Prof Madya Dr. Piniti Ratananukul dari Thailand menyampaikan ucapan.
Suasana ketika mesyuarat tersebut.
Suasana ketika mesyuarat tersebut.
Delegasi-delegasi yang menghadiri Mesyuarat Lembaga Pentadbir SEAMEO RIHED ke-23.
Delegasi-delegasi yang menghadiri Mesyuarat Lembaga Pentadbir SEAMEO RIHED ke-23.

Sementara itu, pada sebelah malam, ahli-ahli lembaga pentadbir berkenaan telah diraikan dalam Majlis Makan Malam SEAMEO RIHED ke-23 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir untuk mengalu-alukan dan menyampaikan cenderahati penghargaan kepada ahli-ahli lembaga pentadbir di majlis berkenaan ialah, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan Setiausaha Agung bagi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi, Thailand serta Pengerusi Lembaga Pentadbir SEAMEO RIHED, Profesor Madya Dr. Piniti Ratananukul.

SEAMEO RIHED ditubuhkan pada 1965 yang mana ia berperanan dalam pembangunan pendidikan tinggi serantau dengan matlamat untuk menjana pendidikan tinggi yang efisien, efektif dan selaras di Asia Tenggara melalui sistem penyelidikan, perkasa dan pembangunan mekanisme untuk memudahkan perkongsian dan kerjasama dalam pendidikan tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA