Pentingnya penjagaan kereta

Pentingnya penjagaan kereta

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Seramai 70 orang pelajar Politeknik Brunei, kelmarin, menghadiri sesi taklimat keselamatan jalan raya mengenai kepentingan penjagaan kereta dan pemeliharaan tayar, di Kampus Utama Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping, di sini.

Menurut kenyataan Politeknik Brunei, di sini, tujuan sesi taklimat itu diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajarnya mengenai isu-isu dan kepentingan keselamatan jalan raya.

Turut hadir mendengar taklimat berkenaan ialah ketua-ketua jabatan dan sekolah Politeknik Brunei.

Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan agar sesi taklimat tersebut akan dapat memberi manfaat kepada para pelajar berkenaan untuk menyedari akan kepentingan keselamatan jalan raya agar kekal selamat ketika di jalan raya.

Dr. Haji Supry semasa sesi soal jawab bersama pelajar-pelajar yang mengikuti sesi taklimat tersebut.
Dr. Haji Supry semasa sesi soal jawab bersama pelajar-pelajar yang mengikuti sesi taklimat tersebut.

Hadir menyampaikan taklimat ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat dan Timbalan Pengerusi II Majlis Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Supry bin Haji Ladi yang menyentuh mengenai betapa pentingnya penjagaan kereta seseorang dalam keadaan baik dan selamat.

Sementara itu, pada sesi kedua taklimat, Awang Calvin Lo dari CDL Enterprise / B-Jay (B) Sdn Bhd / Trans-Saga Sdn Bhd pula menyentuh mengenai asas-asas keselamatan tayar dan tujuan penjajaran roda.

Beliau menegaskan bahawa tayar perlu ditukar apabila kiraan dalaman bunga tayar dan corak getah di lilitan tayar berukuran kurang daripada 1.6 milimeter.

Menurutnya, pemeliharaan tayar yang betul boleh membawa banyak manfaat, seperti bunga tayar akan lebih tahan lama, perjalanan yang selesa dan penjimatan petrol, di samping itu, ia juga akan membantu memastikan perjalanan yang lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya.

ARTIKEL YANG SAMA