Penubuhan Bank Pembangunan SAARC bakal diumumkan

Penubuhan Bank Pembangunan SAARC bakal diumumkan

KATHMANDU, 19 Ogos – Menteri-menteri Kewangan Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) dijangka mengumumkan mengenai penubuhan Bank Pembangunan SAARC.

Penubuhan bank itu dijangka meningkatkan lagi kerjasama ekonomi, mengintegrasikan ekonomi serantau dan menggalakkan aktiviti pembangunan di Asia Selatan.

Kementerian Kewangan Nepal dalam satu kenyataan, mengesahkan bahawa pembentukan bank dimuatkan dalam agenda Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Ketujuh di sini hari ini.

Setiausaha Kewangan negara SAARC kini berhimpun di Kathmandu untuk menyertai mesyuarat peringkat setiausaha bagi menyediakan dan memuktamadkan agenda untuk mesyuarat peringkat menteri.

SAARC dianggotai Nepal, India, Bhutan, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Maldives dan Afghanistan.

Ia ditubuhkan pada 1985 berdasarkan model ASEAN untuk menggalakkan kerjasama yang lebih mendalam dalam kalangan negara anggota.

Ia mempunyai sembilan pemerhati iaitu China, Myanmar, Korea Selatan, Jepun, Australia, Amerika Syarikat, Iran, Mauritius dan Kesatuan Eropah. – Bernama