Penuhi semua syarat untuk mohon kewarganegaraan

Penuhi semua syarat untuk mohon kewarganegaraan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac- Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar) hari ini menjelaskan salah satu syarat bagi mendapatkan taraf kerakyatan ialah pemohon dikehendaki untuk lulus ujian Bahasa Melayu seperti yang ditetapkan dalam undang-undang berkenaan.

Katanya, setiap pemohon adalah dimestikan memenuhi semua syarat peruntukan perundangan yang ada, yang disebutkan dalam Bab 5, Akta Kebangsaan Brunei, Penggal 15.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan demikian sebagai respons kepada ucapan penangguhan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin yang menyentuh mengenai jawapan surat Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan kepada pemohon yang telah lulus peperiksaan untuk mendapatkan taraf kerakyatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam secara pendaftaran di bawah Bab 5 (1) dari Akta Kebangsaan Brunei, Penggal 15.

“Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja juga ada menyatakan bahawa seperti direkodkan dalam Hansard, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dulu dan Menteri sekarang menyatakan, ‘passing examination does not guarantee your citizenship’.”

pg03_160323_b

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar menjelaskan bahawa kenyataan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Pehin Goh King Chin adalah kurang tepat.

“Tidak sedemikian penjelasan kaola seperti direkodkan dalam hansard bertarikh 10 Mac 2016. Kaola merasa kesal kerana Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja tidak merujuk hansard tetapi memetik apa yang dilaporkan di dalam media massa.”

Menurut Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar di dalam peruntukan Bab 5, Akta Kebangsaan Brunei, Penggal 15, terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi, yang mana salah satu syaratnya adalah pemohon dikehendaki untuk lulus ujian Bahasa Melayu seperti yang ditetapkan dalam undang-undang berkenaan.

“Dalam hal ini, bererti setiap pemohon adalah dimestikan memenuhi semua syarat peruntukan perundangan yang ada, yang disebutkan dalam akta berkenaan.

“Inilah yang dimaksudkan dengan proses-proses yang perlu dilalui seperti yang terkandung dalam undang-undang berkenaan.”

Mengulas mengenai dengan Bab 11 (3), Akta Kebangsaan Brunei, Penggal 15, yang turut disentuh oleh Yang Berhormat Pehin Goh King Chin, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar, menjelaskan bahawa bab itu adalah berkaitan dengan perlucutan taraf kerakyatan dan ia tidak ada kaitan dengan proses bagi permohonan Taraf Kerakyatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA