Penuhi usia dengan amal soleh

Penuhi usia dengan amal soleh

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Umat Islam diingatkan untuk menghargai nikmat umur dan memanfaatkannya dengan ketaatan kepada Allah S.W.T di mana kehidupan manusia di dunia ini tidak kekal, kehidupan ini akan berakhir iaitu sama ada dengan kesudahan yang baik atau sebaliknya.

“Orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu seorang mukmin yang sebenar iaitu sentiasa mengabdikan diri kepada Allah, beribadat hanya kepadaNya, melaksanakan suruhanNya, memelihara dan menjauhkan dirinya dari apa juga perbuatan yang boleh mendatangkan dosa.”

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menegaskan mengenai amal soleh yang sangat luas maknanya, amal soleh itu juga adalah perbuatan yang baik, bermanfaat dan berguna sama ada bagi diri sendiri atau orang lain.

Menurut khatib, antara perbuatan amal soleh itu ialah orang yang memperbanyakkan doa dan zikir, membaca Al-Quran, melaksanakan tanggungjawab dengan amanah seperti kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Selain itu, mengamalkan sikap yang mulia, seperti tolong menolong dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar, mencari rezeki dengan cara yang jujur, menuntut, memberi dan mengamalkan ilmu yang bermanfaat dan sebagainya.

“Orang yang beriman dan beramal soleh telah dijanjikan dengan ganjaran yang besar dari Allah dan antaranya mendapat ganjaran pahala, tiada duka cita baginya dan tergolong dalam orang-orang yang soleh,” menurutnya lagi.

Di samping itu, ia juga dihapuskan kesalahannya malah dikurniakan ganjaran apa yang mereka telah kerjakan sebaik-baik ganjaran di mana sebaik-baik ganjaran itu ialah syurga.

Beruntung bagi orang yang menghabiskan umurnya untuk taat dan beribadat kepada Allah dan memperbanyakkan amal soleh.

Manakala ruginya bagi orang yang mensia-siakan umur dengan menderhaka Allah, melakukan perbuatan yang berdosa dan maksiat, berbuat kejahatan dan kemungkaran kerana apa yang diterima hanyalah kemurkaan Allah.

“Sememangnya semua manusia mengimpikan kehidupan di akhirat kelak berakhir dengan kebaikan dan kebahagiaan,” tambahnya.

Khatib seterusnya berkata, “Hidup kekal di dalam syurga yang penuh dengan kesenangan dan kelazatan di mana semua itu boleh dicapai dengan menjadi orang yang beriman dan beramal soleh.

“Terdapat sebilangan orang yang bercita-cita supaya Allah memuliakan dan mengangkat darjatnya bersama dengan orang yang beramal soleh tetapi mereka tidak melakukan amal soleh, leka dan sibuk dengan urusan dunia di mana itu pada hakikatnya adalah angan-angan kosong,” tegasnya.

Hari akhirat atau hari kiamat adalah hari di mana manusia akan dihisab mengikut amal perbuatan mereka semasa hayat di dunia, Allah S.W.T telah memerintahkan malaikat mencatat apa saja yang telah manusia kerjakan semasa mereka hidup di dunia dalam buku catatan amal.

Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh, mereka akan dimasukkan dalam rahmatNya iaitu syurga manakala bagi orang yang tidak beriman, balasan mereka ialah neraka.

ARTIKEL YANG SAMA