Penulis muda disaran hasil karya berkualiti

Penulis muda disaran hasil karya berkualiti

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Para penulis tanah air disarankan supaya terus menggiatkan usaha-usaha berterusan dalam membimbing penulis muda agar dapat menghasilkan penulisan yang bermutu tinggi.

Ini kerana, karya dan nukilan pena sasterawan dan penulis negara merupakan satu khazanah intelektual bangsa yang seharusnya dikumpulkan dan dihayati untuk penyelidikan dan rujukan dalam kalangan masyarakat tempatan dan juga luar.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Penulis ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ bersempena sambutan Bulan Bahasa 2015, yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Beliau yang juga tetamu kehormat majlis menyuarakan pendapat bahawa para penulis perlu memiliki daya fikir yang tinggi dan keberanian menggarap idea besar untuk sama-sama mendukung pembangunan, kemajuan dan perkembangan sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik negara yang mempunyai nilai-nilai murni.

Ujarnya, nilai itu dapat melahirkan sebuah masyarakat yang sopan, positif dan saling menghargai antara satu dengan lain.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Penulis ‘Bahasa Jiwa Bangsa.’
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Penulis ‘Bahasa Jiwa Bangsa.’
Para jemputan khas yang hadir pada majlis itu.
Para jemputan khas yang hadir pada majlis itu.

“Para penulis juga harus sentiasa peka dan sensitif akan perkembangan semasa kerana penulis dengan penanya yang diibaratkan ‘lebih tajam daripada pedang’ adalah perakam kepada peristiwa sejarah,” katanya.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, para penulis muda dan yang baru harus sentiasa mencari ilmu dalam penulisan dan terus berkarya hingga mampu menghasilkan produk sastera yang berkualiti dan mampu menyaingi penulis-penulis prolifik dan mapan.

Beliau menegaskan, bagi mengangkat sastera Brunei supaya kedudukannya lebih unggul bukan saja di dalam negara, malah ke peringkat serantau dan antarabangsa, gabungan sinergi antara Dewan Bahasa dan Pustaka dan persatuan penulis tempatan seperti Persatuan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) Kumpulan Putera Seni dan Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PeSTAB), perlu diadakan.

Dalam ucapannya, beliau juga menyuarakan rasa gembira setelah dimaklumkan bahawa lebih dua pertiga jumlah peserta yang menyertai Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Sastera Majalah Bahana terdiri daripada golongan penulis baru dan muda.

Seterusnya, beliau berharap penyertaan mereka dalam peraduan itu menjadi pendorong yang akan menyuntik semangat mereka untuk terus maju dalam penulisan dan menjadi pelapis kepada penulis yang ada sekarang.

Awal daripada itu, Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan, selaku pengerusi majlis, dalam ucapan alu-aluannya berkata, pada tahun ini sebanyak dua kategori telah dipertandingkan, iaitu Kategori Cerpen dan Kritikan Sastera.

Ujarnya, Kategori Cerpen menyaksikan penyertaan sebanyak 45 buah cerpen daripada 43 penulis dan telah dinilai oleh panel hakim manakala Kategori Kritikan Sastera, sebanyak 18 buah esei dinilai.

Persembahan drama menyerikan lagi majlis tersebut.
Persembahan drama menyerikan lagi majlis tersebut.
Para jemputan yang hadir pada majlis itu.
Para jemputan yang hadir pada majlis itu.

Sementara itu, bagi Kategori Penulisan Novel, sebanyak 20 penyertaan telah diterima pada tahun ini, sekali gus menunjukkan penurunan berbandingkan dengan jumlah para penulis yang sudah mapan dan prolifik di negara ini, katanya.

Pada majlis itu, tetamu kehormat telah menyampaikan Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel 2013-2014.

Hadiah Penghargaan Pertama diterima oleh Haji Mohd Salleh bin Abdul Latif, manakala Hadiah Penghargaan Kedua diraih oleh Haji Bujang bin Haji Matnor (Bujang HMN) dan Hadiah Penghargaan Ketiga diterima oleh Hajah Norsiah binti Haji Abdul Gapar.

Dalam Peraduan Menulis Cerpen dan Kritikan Sastera Bahana DBP 2015, Hadiah Penghormatan Pertama dimenangi oleh karya bertajuk ‘Tuah… Tapi Siapa Untung’, karya Awang Nazrul bin Haji Besar, Hadiah Penghormatan Kedua dimenangi oleh karya Haji Romzi bin Haji Hidup berjudul ‘Pecat’, manakala itu, penerima Hadiah Penghormatan Ketiga ialah karya berjudul ‘Anugerah Ilahi Buatku’ oleh Dayang Siti Radiah binti Haji Ahim.

Sebanyak lima hasil cerpen turut menerima penghargaan, iaitu Penghargaan Pertama diraih oleh cerpen berjudul ‘Demi Purih Bangsaku’ oleh Haji Azreem bin Haji Ramli, Penghargaan Kedua diraih oleh cerpen berjudul ‘Seutas Waktu, Sehalus Fana Kalbu’ oleh Dayang Liyana binti Haji Julay, sementara penghargaan ketiga dimenangi oleh cerpen berjudul ‘Kudrat’ oleh Dayang Affiezah @ Alma’Syafi’ah binti Musa, keempat ialah cerpen berjudul ‘Simpang Siur Perjalanan’ yang ditulis oleh Dayang Mimi Nohanirah binti Mahani dan penghargaan kelima diraih oleh cerpen berjudul ‘Ramalan Seorang Teman’ tulisan Dayang Nurin Jazlina @ Siti Nor Ikhsan binti Haji Abdul Ghani.

ARTIKEL YANG SAMA