Penulis terkenal Jordan dibunuh

Penulis terkenal Jordan dibunuh

AMMAN, 25 Sept – Seorang lelaki bersenjata hari ini membunuh seorang penulis terkemuka Jordan Nahed Hattar di luar mahkamah, di mana beliau telah menghadapi tuduhan menyiarkan karakter kartun yang dianggap mengejek agama Islam, agensi berita Petra melaporkan.

Hattar ditembak dengan tiga butir peluru sebelum penyerang itu ditangkap, kata Petra. Saksi memberitahu AFP bahawa seorang lelaki telah melepaskan tembakan di hadapan mahkamah di Daerah Abdali Amman.

Lelaki beragama Kristian yang berusia 56 tahun itu ditahan pada 13 Ogos selepas menyiarkan karakter kartun yang mengejek kumpulan jihad dalam akaun Facebooknya.

Dia didakwa atas hasutan persengketaan dan menghina agama Islam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada awal September.

Peguam Negara Jordan telah mengenakan sekatan berkenaan dengan liputan media mengenai kes itu.

Ambulans sedang membawa Nahed Hattar ke pusat perubatan selepas dia ditembak di Amman, Jordan, kelmarin. - AP
Ambulans sedang membawa Nahed Hattar ke pusat perubatan selepas dia ditembak di Amman, Jordan, kelmarin. – AP

Hattar memadam karakter kartun itu dari laman Facebooknya selepas ia mencetuskan kemarahan di media sosial.

Kartun ini mempunyai ilustrasi mengenai ketuhanan dengan tajuknya ‘Tuhan Daesh’, dengan menggunakan singkatan Bahasa Arab untuk kumpulan Negara Islam (IS).

Beliau menjelaskan di Facebook bahawa kartun itu mengejek “pengganas dan bagaimana mereka menggambarkan mengenai ketuhanan dan syurga, dan tidak menghina tuhan sedikitpun.”

Jordan adalah ahli utama pakatan yang diketuai Amerika dalam memerangi kumpulan IS di negara jiran Iraq dan Syria, dan merupakan sasaran pengeboman berani mati pada 21 Jun yang mengorbankan tujuh pengawal sempadan.

Kerajaan ini telah menjalankan serangan udara yang menyasarkan jihad IS dan tentera pakatan di wilayahnya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA