Penulisan cerpen menjadi novel

Penulisan cerpen menjadi novel

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini, mengungkayahkan Bengkel Penulisan Cerpen menjadi Novel yang dibimbing oleh penulis-penulis kumpulan Bersama Terbitan Antologi (BeTA) dari Malaysia, yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, DBP, Berakas, di sini.

Bengkel setengah hari itu dirasmikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan yang diwakili oleh Hajah Sariani binti Haji Ishak.

Dalam ucapan alu-aluan yang dibacakan oleh Hajah Sariani, Hajah Nortijah menjelaskan bahawa kumpulan BeTA itu dipimpin oleh Ismail bin Hashim atau lebih dikenali sebagai Ilhami Hisham.

“Saya difahamkan kumpulan ini masih muda usia penubuhannya iaitu belum sampai setahun, BeTA ditubuhkan pada Januari 2016 dan telah melahirkan empat buah buku antologi sastera dan autobiografi yang melibatkan seramai 150 orang penulis dan ini termasuklah penulis-penulis dari Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Beliau menambah kata, meskipun usaha bagi melaksanakan projek ini berlaku dalam waktu yang singkat, namun beliau percaya, inisiatif pelaksanaan projek ini membawa matlamat ke arah memartabatkan karya-karya sastera dan juga hasil kreativiti penulis.

Antara yang hadir pada bengkel tersebut.
Antara yang hadir pada bengkel tersebut.
Penyelaras Penulis Kumpulan BeTA berucap pada pengenalan awal bengkel.
Penyelaras Penulis Kumpulan BeTA berucap pada pengenalan awal bengkel.

“Hari ini, kita bertuah dapat berkongsi ilmu dan pemikiran dengan penulis-penulis dalam dan luar negara bagi menambah ilmu-ilmu penulisan kreatif,” ujarnya lagi.

Kunjungan BeTA ke Negara Brunei Darussalam selain berusaha memberi bimbingan dan tunjuk ajar penulisan kreatif, kumpulan ini juga telah banyak melahirkan ramai penulis dan menghasilkan karya-karya berbentuk antologi penulis dalam pelbagai genre.

Bengkel yang disertai oleh warga kerja DBP dan anak-anak muda itu juga dibukakan penyertaannya kepada penulis-penulis tempatan yang berminat dalam penulisan karya kreatif.

Ia juga merupakan sesi kongsi ilmu penulisan dan pengalaman penulis dalam membentuk teknik penulisan cerpen menjadi novel.

Sejurus selepas perasmian, majlis diteruskan dengan sesi perbincangan bersama tiga orang penulis iaitu Zalina binti Ahamad (BeTA), Mazlinda Mohd Nor (BeTA) dan penulis tempatan, Shaharah A.Wahab.

Bengkel kemudiannya diteruskan dengan Praktikal Menulis Sinopsis diikuti dengan Selang-seli Acara Baca Cerpen yang dibawakan oleh Mz Halim Hassan, Azizah MDS dan Shaharah A.Wahab.

Bengkel tersebut diharap dapat menyuntik semangat penulis-penulis tempatan untuk terus aktif dalam pelbagai genre penulisan kreatif dan berkolaborasi dengan penulis-penulis luar negara bagi mengangkat martabat dan karya sastera di peringkat Nusantara di samping memasyarakatkan karya kreatif merentasi sempadan negara dan merealisasikan jalinan ukhuwah melalui karya pelbagai genre.

ARTIKEL YANG SAMA