Penumpang Airasia ditahan, jongkong emas dirampas

Penumpang Airasia ditahan, jongkong emas dirampas

NEW DELHI, 23 Jun (Bernama) – Empat puluh lima penumpang AirAsia adalah antara 56 orang yang ditahan oleh pihak berkuasa India di Lapangan Terbang Antarabangsa Visakhapatnam di Andhra Pradesh, dan daripada itu, mereka merampas 62 kg jongkong emas bernilai 17 crore rupee (RM9.94 juta), menurut akhbar Times of India.

Ia tidak jelas sama ada rakyat Malaysia adalah antara mereka yang ditahan.

Menurut akhbar itu, bertindak atas maklumat awam, pegawai-pegawai Direktorat Risikan Hasil (DRI) di Chennai, dalam satu operasi khas pada malam Ahad, bergerak ke lapangan terbang antarabangsa yang baru ditauliahkan dan menjalankan pemeriksaan teliti ke atas dua penerbangan dari Kuala Lumpur dan satu dari Singapura.

Pada mulanya, para pegawai memeriksa 20 penumpang penerbangan AirAsia yang membawa banyak barang-barang elektronik, dan menemui jongkong emas tersembunyi dalam barangan itu, menurut akhbar harian itu.

Pemeriksaan ke atas 10 penumpang penerbangan Silk Air dari Singapura juga menemui jongkong emas dalam barangan elektronik mereka.

Pemeriksaan ke atas 25 penumpang AirAsia dalam penerbangan kedua dari Kuala Lumpur juga mendedahkan penyeludupan jongkong emas.

Menurut akhbar itu, ramai di antara mereka yang ditahan ialah mereka yang kerap melancong dan kebanyakan mereka bertindak sebagai ‘kurier’.

Akhbar harian itu memetik pegawai DRI sebagai berkata mereka yang ditahan semata-mata sebagai ‘pembawa’ dan tugas mereka berakhir dengan penyerahan emas kepada seseorang di luar lapangan terbang.

“Mereka terbabit dalam perniagaan itu semata-mata kerana wang. Bergantung kepada kuantiti, pembawa terbabit akan dibayar, kata akhbar itu memetik kenyataan pihak berkuasa DRI.

Kurier akan sentiasa mencari jalan baharu dan destinasi baharu, kata para pegawai.

Satu lagi kemungkinan adalah bahawa penerbangan baharu akan diperkenalkan di antara destinasi Visakhapatnam dan Asia Tenggara atau kekerapan penerbangan antara kedua-dua destinasi mungkin meningkat, kata para pegawai.

Jadi, ia boleh menarik kurier untuk menukar kepada destinasi yang baharu, jauh dari rumah mereka, kata pegawai.

ARTIKEL YANG SAMA