Penumpang bot laju bertambah di bulan Ramadan

Penumpang bot laju bertambah di bulan Ramadan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Dengan bermulanya bulan Ramadan, lebih-lebih lagi cuti awam hari ini, penumpang bot laju dari Bandar Seri Begawan ke Daerah Temburong bertambah apabila ramai penduduk daerah itu pulang ke kampung untuk berkumpul bersama-sama keluarga.

Wartawan Media Permata, semalam, berkesempatan untuk meninjau jeti bot laju ke Temburong di ibu negara yang merupakan salah satu kemudahan penghubung untuk ke daerah itu, dan ia masih lagi menjadi pilihan orang ramai.

Salah seorang pemandu bot yang ditemui, Awang Sufain Zainal berkata, bot laju ke Temburong kekal menjadi pilihan pengguna di Daerah Temburong dan Bandar Seri Begawan terutamanya pada waktu hari kelepasan dan cuti panjang.

Menurutnya, pada bulan Ramadan, keramaian penumpang menggunakan perkhidmatan bot laju ini akan bertambah berbanding pada hari-hari biasa.

Bot laju yang siap menanti penumpang ke Daerah Temburong.
Bot laju yang siap menanti penumpang ke Daerah Temburong.

Mengulas lanjut mengenai waktu operasi bot berkenaan sepanjang bulan Ramadan, beliau berkata, seperti tahun sebelumnya ia akan ditutup lebih awal yang mana perubahan waktu itu berikutan dengan perubahan waktu bekerja bagi penjawat awam.

“Bagi pemandu bot laju pula, walaupun waktu operasi turut berubah pada bulan Ramadan, tapi kami seperti biasa akan bersiap sedia di jeti pada pukul 6 pagi untuk lebih memudahkan penumpang yang ingin membuat urusan mereka,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA