Penunggang motosikal cuba henti trak pembunuh

Penunggang motosikal cuba henti trak pembunuh

BERLIN, 15 Julai – Seorang jurnalis Jerman yang menyaksikan serangan Nice itu berkata dia melihat sebuah motosikal mengejar trak pembunuh itu dan cuba untuk memasuki kabin namun jatuh dan terperosok di bawah kenderaan itu.

“Saya berdiri di balkoni, berhampiran Promenade des Anglais, dan melihat bagaimana orang ramai meraikan di sana, dan tiba-tiba sebuah trak merempuh khalayak ramai,” kata Richard Gutjahr, 42, yang sempat mengambil rakaman video dalam telefon pintarnya dalam rempuhan berdarah Hari Bastille, memberitahu AFP hari ini.

“Mengejutkan, dia memandu sangat perlahan, tidak laju, dia memandu perlahan dan dia dikejar oleh seorang penunggang motosikal,” imbas Gutjahr menerusi telefon. “Penunggang motosikal itu cuba untuk memotong trak itu malah cuba untuk membuka pintu pemandu, namun dia jatuh dan terperosok ke bawah trak.”

Gutjahr, seorang jurnalis sambilan, berkata dia juga menyaksikan dua pegawai polis melepaskan tembakan ke arah trak berkenaan.

“Kemudian pemandu menekan minyak dan memandu laju tidak tentu hala menuju ke arah orang ramai. Dalam masa 15 ke 20 saat saya terdengar tembakan. Mereka yang panik berlari ke mana-mana arah, dan ada yang berlari ke pintu masuk hotel.” – AFP