Penunggang motosikal maut kemalangan di Labuan

LABUAN, 6 Dis – Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tun Mustapha, bertentangan Lapangan Terbang Labuan, awal hari ini.

Ramli Samil, 20, tercampak daripada motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada 2:36 pagi itu.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Pohon Batu dari pusat bandar apabila tiba-tiba hilang kawalan, sebelum merempuh sebuah Range Rover yang diletak di sisi jalan setelah tayarnya pancit.

Ketua Polis Labuan ACP Adzhar Othman berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Nukleus Labuan dan beliau meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Kami ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutama ketika memandu pada waktu malam dan jangan melebihi had laju yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Adzhar berkata kes kemalangan di Labuan semakin berkurangan iaitu sembilan berbanding 17 kes pada tahun lepas. – Bernama