Penurapan jalan mudahkan penduduk

Penurapan jalan mudahkan penduduk

TELUPID, SABAH, 30 Dis – Langkah kerajaan menurap Jalan Buis-Kiabau sepanjang 23 kilometer akan membantu memudahkan penduduk di enam kampung di sekitarnya memasarkan hasil pertanian mereka. Ketua Kampung Buis Sukaria Kartumi berkata kampung yang terlibat ialah Kampung Buis, Kampung Liningkung, Kampung Barayong, Kampung Kiabau, Kampung Ansuan dan Kampung Baba.

Katanya kebanyakan penduduk kampung tersebut bekerja sendiri mengusahakan tanaman pertanian seperti kelapa sawit, getah dan buah-buahan namun selama ini terpaksa menggunakan jalan utama yang seringkali rosak terutama selepas hujan.

‘Apabila penurapan jalan itu siap nanti, ia akan memudahkan penduduk kampung menggunakan jalan tersebut bagi memasarkan hasil pertanian iaitu tanaman kelapa sawit, getah dan buah-buahan. ‘Jalan raya ini memainkan peranan penting terhadap aktiviti menjana pendapatan penduduk kampung,’ katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sukaria berkata pembaikan jalan itu juga memudahkan pelajar sekolah menengah di enam kampung berkenaan untuk berulang-alik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Telupid terletak berhampiran Pekan Telupid.

Beliau berkata terdapat 600 penduduk di Kampung Buis dengan hanya sebuah sekolah rendah di kampung itu.

Sementara itu, anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pembaikan Jalan Buis-Kiabau merupakan komitmen berterusan kerajaan melaksanakan transformasi pembangunan di kawasan luar bandar. – Bernama