Penurunan kuasa: Adenan jumpa Najib Rabu depan

Penurunan kuasa: Adenan jumpa Najib Rabu depan

SIBU, 17 Jan – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu depan bagi menyelesaikan perkara berkaitan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak.

Semasa berucap merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Bahagian Sibu di sini hari ini, Adenan berkata Sarawak mahu agar dikembalikan kuasa pentadbiran yang pernah dimilikinya dan diambil kerajaan pusat memandangkan ia penting bagi pembangunan negeri itu khasnya kepada penduduk di luar bandar.

Katanya dalam perjumpaan itu juga, beliau akan membangkitkan lagi mengenai peningkatan royalti minyak kepada Sarawak memandangkan kadar lima peratus sekarang terlalu kecil.

Menurut beliau perbincangan mengenai perkara terbabit akan memakan masa namun percaya ia akhirnya akan dipersetujui kerajaan pusat.

Justeru, beliau mahu rakyat memberi tempoh lima tahun lagi kepada beliau dan Barisan Nasional (BN) untuk memimpin Sarawak agar perkara itu dapat dicapai bagi kepentingan semua.

Sehingga kini, kata Adenan, kerajaan pusat telah bersetuju untuk tidak mengeluarkan lesen perikanan laut dalam di kawasan perairan Sarawak tanpa merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Katanya kerajaan pusat juga telah bersetuju supaya dalam masa tiga tahun lagi 90 peratus daripada tenaga guru di negeri itu adalah rakyat negeri ini sendiri selain peruntukan kontrak tahunan bernilai RM2.1 bilion Petronas kepada syarikat-syarikat dari negeri Sarawak.

Sepanjang tempoh dua tahun menjadi Ketua Menteri, Adenan berkata terdapat 50 perkara yang telah dilaksanakannya, termasuk penghapusan tol, pengurangan tarif elektrik dan pembinaan Lebuh raya Pan Borneo.

Katanya dalam tempoh 50 tahun, Sarawak telah ketinggalan dalam banyak perkara dan beliau mahu menyelesaikannya dengan menumpukan kepada kawasan luar bandar agar kemiskinan antara kawasan itu dengan kawasan bandar dapat dirapatkan.

“Beri saya lima tahun lagi. Jika kalian beri saya mandat besar (pada pilihan raya negeri ke-11), saya boleh bertegas dengan Kuala Lumpur dan beritahu mereka apa yang kita mahu,” katanya.

Adenan berkata rakyat Sarawak boleh menghakimi beliau dalam masa lima tahun lagi.

“Kalau saya tidak bagus, kalian semua boleh singkir saya. Saya tidak berhasrat memegang jawatan terlalu lama kerana saya akan menjadi terlalu tua bagi jawatan ini,” katanya, sambil menambah beliau yakin rakyat Sarawak tahu apa yang perlu mereka lakukan pada PRN-11 nanti. – Bernama