Penurunan kuasa libat perkara kompleks, ambil masa

Penurunan kuasa libat perkara kompleks, ambil masa

KUCHING, 19 Jan – Pelbagai isu berkaitan konsep penurunan kuasa daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri melibatkan perkara yang kompleks dan akan mengambil masa sebelum membuahkan hasil, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, beliau menjangkakan perkara itu tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

Namun, menerusi semangat muhibah dan keikhlasan kedua-dua kerajaan, proses itu akan dilaksanakan secara langkah demi langkah, katanya.

Beliau menjelaskan antara perkara yang perlu ditangani termasuk soal pembiayaan, kerana misalnya, apabila kuasa diambil alih, sokongan kewangan adalah amat penting.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku nukilan Datuk Lily Yong Lee Lee bertajuk ‘Anak Kampung’ di sebuah hotel di sini hari ini, Adenan berkata bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang dapat diselesaikan dengan mudah.

Beliau memberikan contoh kelulusan kerajaan Persekutuan untuk memastikan 90 peratus guru di Sarawak adalah rakyat negeri ini, dan persetujuannya untuk meningkatkan jumlah pegawai imigresen di negeri ini. Ketua Menteri turut menonjolkan isu berkaitan kelulusan kerajaan Persekutuan untuk merundingkan kerajaan negeri, sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada pengusaha perikanan laut dalam di Sarawak.

Sabtu lepas, semasa merasmikan Program Sejiwa Senada Divisyen Sibu 2016 di Sibu, Adenan dilaporkan sebagai berkata, beliau akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu untuk membincangkan perkara berkaitan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak. – Bernama