Penutupan cawangan bank tingkat kecekapan operasi

Penutupan cawangan bank tingkat kecekapan operasi

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Penutupan cawangan-cawangan bank merupakan satu usaha yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan operasi institusi kewangan itu, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (ABIM).

Persatuan terbabit dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata kemajuan dan perkembangan dalam teknologi serta pembayaran elektronik membolehkan kemudahan menjalankan transaksi perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank fizikal.

“Transaksi sudah menjadi semakin automatik bagi menggalakkan kecekapan yang lebih baik. Dalam persekitaran ini, bank-bank mula memberi tumpuan kepada platform digital, berbanding dengan cawangan fizikal bagi menyampaikan perkhidmatan mereka kepada pengguna dan perniagaan,” kata kenyataan tersebut.

Walaupun terdapat peralihan kepada platform elektronik, usaha menyampaikan khidmat perbankan yang berkualiti tidak akan diabaikan.

“Institusi perbankan akan terus berusaha bagi menyediakan pembiayaan untuk menyokong semua sektor ekonomi. Bank juga akan memastikan bahawa semua lapisan rakyat termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan.”

Dalam landskap kewangan baharu ini, sektor perbankan agak optimistik dengan prospek pekerjaan dalam industri, kata persatuan-persatuan itu.

“Untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, kakitangan bank mungkin perlu dipindahkan dan diberi latihan semula bagi memenuhi tuntutan keperluan industri yang sentiasa berkembang. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA