Penutupan HSBC runsingkan pelanggan

Penutupan HSBC runsingkan pelanggan

Oleh Sim Y. H., Normazlina M.D & Anwar Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Rata-ratanya orang ramai dan pelanggan bank HSBC menyatakan perasaan terkejut malah sedih dengan dengan berita penutupan bank HSBC yang berkuatkuasa hari ini sudah sekian lama beroperasi di Negara Brunei Darussalam.

Perasaan sedih itu dikongsi oleh seorang pelanggan bank berkenaan, Sam Lim yang menyatakan bahawa bank itu sudah lebih 60 tahun beroperasi di Brunei dan kini ia akan mengundur diri serta hanya akan menjadi kenangan.

Beliau menceritakan, apabila mendengar berita mengenai penutupan itu, beliau juga berasa terkejut tetapi setelah membaca kenyataan, melawat laman sesawang bank berkenaan dan membaca penjelasan yang diberikan, beliau memahami keputusan yang perlu diambil.

Sam Lim berkata bahawa bank itu sebagai sebuah perniagaan juga harus berdepan dengan keadaan yang amat mencabar dan keputusan yang diambil walaupun mengecewakan tetapi ia merupakan sesuatu yang perlu dilakukan bagi kebaikan perniagaan itu.

Menurutnya, beliau sudah lama mempunyai akaun bersama bank itu dan kini akan perlu membuat kajian untuk memilih bank baru bagi mendapatkan perkhidmatan perbankannya.

“Saya berasa sedih kerana sudah sekian lama saya berurusan dengan HSBC Brunei dan saya juga mengenali sebahagian ramai kakitangan bank itu. Kini saya terpaksa berpindah ke bank yang lain.”

p04-1_20160407

Beliau berharap, semasa proses pemindahan akaun itu nanti akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat serta akan berkunjung ke bank berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut dalam masa beberapa hari lagi.

Rata-rata pelanggan yang ditemui juga menyuarakan kebimbangan dan kekeliruan mengenai apa yang akan terjadi kepada akaun dan simpanan tetap mereka, serta pembayaran ansuran barangan, kereta dan rumah menerusi bank berkenaan.

Salah seorang pelanggan yang ditemui di HSBC cawangan Daerah Belait, yang dikenali sebagai Amsyar Harraz memberitahu, beliau tidak ingin memindahkan khidmat perbankannya ke bank lain jika mahu membuat pinjaman semula bagi barang yang dibelinya dan ingin mengetahui apakah tindakan HSBC Brunei yang ingin menutup operasinya jika perkhidmatan pinjamannya masih lagi di bank tersebut.

Beliau juga melahirkan harapan agar HSBC Brunei akan memaklumkan lebih awal kepada pelanggan-pelanggan dan membuat sesi perjumpaan ramai bersama pelanggan, serta tidak berharap menunggu pelanggan-pelanggan datang mengemukakan masalah masing-masing.

Manakala itu, di Daerah Belait, Dayang Elain binti Ibrahim, pelanggan setia HSBC selama hampir 20 tahun yang sedang bekerja di salah sebuah syarikat swasta di bawah industri minyak dan gas berkata, beliau amat terkejut dan terkilan dengan berita tersebut, menyangka khabar angin itu tidak betul pada awalnya dan tidak mengendahkannya tanpa memikirkan apa-apa.

Selepas mendapat tahu akan perkara tersebut daripada pesanan ringkas WhatsApp dan juga laman web HSBC, beliau terus menghubungi perkhidmatan pelanggan.

“Walaupun saya diberitahu bahawa akaun simpanan tetap saya tidak akan terjejas, ianya langsung tidak memberi saya apa-apa jaminan apabila perkhidmatan pelanggan itu berkata bahawa saya boleh memindahkan akaun saya pada bila-bila masa,” ujarnya kepada Media Permata.

Menurutnya, HSBC cuba memberi jaminan lagi atas keselamatan akaun dan kemudahan beliau di sana dan diberitahu bahawa setiap pelanggan akan dihubungi untuk diberi panduan lanjut mengenai apa yang akan perlu dilakukan seterusnya nanti, namun kini beliau berasa ragu-ragu.

“Jika mereka akan menutup, maka apa yang akan berlaku kepada akaun simpanan saya dan juga kemudahan pinjaman saya di sana nanti? Gaji kerja saya dimasukkan di dalam akaun di sana dan jika perlu memindahkannya adakah proses pemindahan akan dilakukan oleh mereka atau saya yang harus membuat segala proses tersebut? Mereka tidak dapat memberikan saya jawapan yang betul jikalau mereka akan berada dalam keadaan seperti ini untuk masa akan datang,” tekannya lagi.

Seorang lagi pelanggan yang bekerja dalam industri minyak dan gas, Awang Yazdi bin Yahya turut menyuarakan perasaan yang sama dan berpendapat bahawa pihak perbankan HSBC sepatutnya terlibat dalam memaklumkan pelanggan mereka terlebih dahulu dan bukannya membuat pengumuman tersebut di laman web mereka, menjadikan pengumuman itu viral di platform media WhatsApp.

Menurutnya, pengumuman sedemikian mewujudkan panik dalam kalangan pelanggan serta kepada pelanggan-pelanggan mereka yang mempunyai perniagaan dengan HSBC.

Pihak perbankan HSBC sepatutnya bertindak dengan lebih wajar lagi dalam memberi maklumat kepada pelanggan-pelanggan sepertinya, ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa dengan keadaan kegawatan ekonomi di peringkat global dan juga di negara ini, ia akan mendatangkan kesusahan bagi kakitangan tempatan yang bekerja untuk HSBC apabila ia ditutup nanti.

Media Permata juga mendapat berita bahawa penutupan bank itu nanti akan menjejaskan lagi pekerja-pekerjanya.

Ahli keluarga salah seorang kakitangan bank berkenaan yang tidak mahu dikenali memberitahu, pada masa ini, abangnya masih lagi dalam keadaan tertekan kerana masih banyak perkara yang perlu diselesaikan.

Menurut beliau, abangnya sudah lama berkhidmat di HSBC sejak tahun 1990-an dan beberapa pekerja di sana sudah pun menamatkan perkhidmatan mereka lebih awal.

Walau bagaimanapun, terdapat bekas pekerja HSBC masih tertekan kerana belum mendapat sebarang pekerjaan dan mereka masih lagi berusaha mencari pekerjaan untuk menyara keluarga serta menyelesaikan pinjaman di bank tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA