Penutupan jalan di Kiulap

Penutupan jalan di Kiulap

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa jalan lencongan di persimpangan Jalan Gadong / Jalan Telanai akan dibuka dan mula digunakan pada 10 Oktober 2015 ini jam 12:00 tengah malam.

Menurut kenyataan JKR, hari ini, pembukaan jalan lencongan ini bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan Jejambat (Flyover) di persimpangan Jalan Gadong/Jalan Telanai dilaksanakan.

Pembukaan jalan lencongan ini juga melibatkan pengubahsuaian lampu isyarat di persimpangan tersebut.

Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan pengguna lalu lintas, orang ramai dinasihatkan untuk tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang ditegah terutamanya di kawasan berdekatan dengan sekolah.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, JKR turut memaklumkan penutupan sementara sebahagian simpang 127-21, Kampung Kiulap menuju Jalan Kiulap dan Simpang 127, Jalan Kiulap menuju ke Lebuh Raya Sultan Hassanal Bolkiah.

Rajah menunjukkan salah satu fasa penutupan jalan di Kiulap.
Rajah menunjukkan salah satu fasa penutupan jalan di Kiulap.

Penutupan separuh jalan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu dari simpang 127-21, Kampung Kiulap menuju ke Jalan Kiulap akan bermula pada 10 Oktober mulai jam 9:30 pagi hingga 30 Oktober.

Manakala itu, fasa kedua dari simpang 127, Jalan Kiulap menuju ke Lebuh Raya Sultan Hassanal Bolkiah akan bermula pada 20 Oktober mulai jam 9:30 pagi hingga 11 Disember.

Penutupan ini adalah bagi melaksanakan kerja-kerja penanaman paip pembetungan bawah tanah berukuran 250mm dan 450mm (main line) di jalan-jalan tersebut, yang mana projek ini adalah bagi meningkatkan tahap sistem sanitasi bagi orang ramai.

Sehubungan itu, para pengguna jalan raya yang akan menggunakan jalan-jalan tersebut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi papan-papan tanda arahan yang disediakan dan tanda had laju untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Negara Brunei Darussalam dan e-mel ke alamat pro@pwd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA