Penutupan Jalan Gadong

Penutupan Jalan Gadong

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Jabatan Kerja Raya (JKR), melalui Jabatan Jalan Raya memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Gadong berhampiran dengan bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap akan ditutup sementara bermula 7 pagi pada 25 Disember hingga 5 pagi 26 Disember 2015.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, penutupan sementara jalan berkenaan adalah bagi memudahkan pihak kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembaikan jejantas di tempat berkenaan.

Sehubungan itu, para pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan lencongan jalan raya yang telah disediakan iaitu jalan masuk menuju ke Kompleks Pengakap Gadong.

JKR, dalam kenyataannya, juga menasihatkan para pengguna jalan raya yang akan menggunakan jalan tersebut supaya akan sentiasa berhati-hati dan mematuhi papan-papan tanda arahan yang disediakan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Facebook (Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam) dan e-mel ke alamat pro@pwd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA