Penutupan jalan semasa Majlis Ramah Mesra

Penutupan jalan semasa Majlis Ramah Mesra

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Julai – Bagi melancarkan lagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait terutamanya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Cawangan Belait akan mengendalikan pengurusan lalu lintas di sekitar jalan-jalan utama kawasan Padang Belait semasa majlis tersebut berlangsung pada 23 Julai ini.

Sehubungan itu, JSKLL dalam kenyataannya, hari ini, mengingatkan para pengguna jalan raya supaya akan sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan juga arahan yang diberikan oleh anggota Polis Diraja Brunei yang bertugas.

Menurut kenyataan itu lagi, penapisan kenderaan akan bermula pada pukul 7 pagi bagi kenderaan yang melalui Jalan Maulana/Simpang Jalan McKerron, Jalan Bendahara untuk menuju ke Jalan Sultan, Jalan Padang persimpangan empat Jalan Sultan, Jalan Dato Shahbandar untuk memasuki Jalan Sultan dan Jalan Maulana daripada STL, dan hanya kenderaan yang mempunyai pas sahaja yang dibenarkan memasuki kawasan-kawasan penapisan berkenaan.

Sementara itu, bagi zon-zon letak kereta jemputan khas dan kenderaan yang mempunyai pas letak kereta juga telah ditetapkan iaitu bagi Pas VIP dan Jemputan Khas, kawasan letak kereta adalah di belakang Pentas Diraja, manakala itu, bagi pas A di kawasan letak kereta Bawah Tanah Bangunan Kompleks Jabatan-Jabatan Kerajaan, Jalan Padang, pas B di kawasan letak kereta berhampiran Kantin Bangunan Kompleks Jabatan-Jabatan Kerajaan Jalan Padang dan pas C di kawasan letak kereta hadapan bangunan Kompleks Jabatan-Jabatan Kerajaan, Jalan Padang, Kuala Belait.

Bagi pas letak kereta D pula di kawasan letak kereta bangunan Jabatan Daerah Belait Jalan Mckerron Kuala Belait, pas E di kawasan letak kereta Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria Jalan McKerron, manakala itu, tempat letak kereta awam pula di zon letak kereta kawasan tanah lapang berhampiran Jalan Dato Shahbandar, dan zon bas di sepanjang Jalan McKerron Kuala Belait.

Zon-zon letak kereta berkenaan menjadi larangan letak kereta awam bermula daripada pukul 6 petang pada Jumaat 22 Julai sehingga acara selesai pada 23 Julai.

Hanya kenderaan tertentu sahaja dibenarkan meletakkan kenderaan di kawasan-kawasan yang telah dinyatakan, dan mana-mana kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan akan dipindahkan dan diletakkan di kawasan Balai Polis Belait.

Zon-zon larangan adalah di sepanjang Jalan Maulana dari Helipad Los Tanjung sehingga ke persimpangan Jalan McKerron, Zon VIP dan Jemputan Khas (di belakang Pentas Diraja) dan zon-zon yang telah ditetapkan pas masuk (A, B, C, D dan E), sepanjang Jalan Sultan dari persimpangan Jalan McKerron sehingga ke persimpangan Jalan Dato Shahbandar dan sepanjang Jalan Padang dari simpang empat Jalan Padang/Jalan Sultan menuju ke Sekolah Rendah Kuala Belait.

Laluan alternatif untuk menuju ke Padang Bandaran dan zon-zon letak kereta dan kawasan letak awam adalah dari simpang Jalan Maulana masuk ke Jalan Panglima, sepanjang Jalan Penglima memasuki Jalan Bunga Raya dan Jalan McKerron dari Jalan Bunga Raya.

ARTIKEL YANG SAMA