Penutupan jalan sempena ‘Majlis Ramah Mesra’

Penutupan jalan sempena ‘Majlis Ramah Mesra’

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Bersempena Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Brunei dan Muara yang akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saiffuddien pada 23 Ogos, Pasukan Polis Diraja Brunei menerusi Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), memaklumkan bahawa beberapa jalan raya di ibu negara akan dikawal selia bermula 6:30 pagi hingga acara selesai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, jalan-jalan yang akan dikawal selia termasuk persimpangan lampu isyarat Jalan RIPAS (berhadapan dengan Bangunan Hotel Baadi’ah), lampu isyarat Mahkamah Besar, lampu isyarat Jalan Haji Basir (hadapan bangunan Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Begawan) dan sepanjang jalan lampu isyarat Taman Jubli, persimpangan lampu isyarat Jalan Bendahara (berdekatan dengan Sekolah Menengah Chung Hwa) termasuklah kawasan lampu isyarat Jalan Jawatan Dalam/Jalan Kebangsaan, Jalan Sekolah/Jalan Tasek/Jalan TV Besar.

Turut dikawal selia adalah persimpangan lampu isyarat Jalan Stoney, lampu isyarat Jalan Kianggeh (Hotel Jubilee), lampu isyarat Jalan Elizabeth 2/Jalan Kianggeh (berdekatan dengan tokong Cina) dan persimpangan lampu isyarat Jalan Residency/ Jalan Mc Arthur.

Sementara itu, jalan-jalan yang akan ditutup semasa acara berlangsung termasuk sepanjang Jalan Mc Arthur/Jalan Sultan/kawasan lampu isyarat Jalan Roberts, Jalan Elizabeth 2, Jalan Sumbiling (jalan menuju ke Balai Polis BSB), Jalan Stoney, Jalan Sultan, Jalan Pemancha dan sepanjang Jalan Residency menghala ke Kota Batu (berdekatan simpang jalan menuju ke Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan).

Pasukan Polis Diraja Brunei turut memaklumkan, tempat letak kereta di sepanjang Jalan Kianggeh/Jalan Mc Arthur dan Jalan Sultan, Jalan Stoney/ Jalan Haji Basir dan Jalan Sekolah dan yang penting sekali Sekitar Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saiffuddien perlu dikosongkan awal sehari sebelum Majlis Ramah Mesra bermula (pada malam 22 Ogos.

Jika perlu, para peserta dan orang ramai, meletakkan kenderaan di sepanjang Jalan Kianggeh menuju ke Hotel Jubilee terus ke Jalan Subok dan sepanjang Jalan Residency menuju ke Bangunan Kesenian dan Pertukangan Tangan terus ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Jalan Subok.

Namun, jika hendak datang dan pergi cepat, tidak disyorkan untuk meletakkan kenderaan di tempat-tempat berkenaan, ini adalah kerana jalan-jalan tersebut akan dipenuhi dengan kenderaan dan tidak memungkinkan adanya laluan tembus keluar menuju ke Bandar Seri Begawan.

Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi mengingatkan para peserta dan orang awam untuk menggunakan kaedah berkongsi kenderaan ataupun menggunakan bas-bas yang telah disediakan oleh jabatan masing-masing ataupun perkhidmatan bas ulang alik yang telah disediakan di Masjid Jame Asr’ Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Sehubungan dengan perkara ini, diingatkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan dengan memindahkan mana-mana kenderaan yang didapati diletakkan pada tempat-tempat yang disebutkan tadi iaitu pada malam 22 Ogos 2015.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya itu turut memaklumkan tempat penurunan peserta yang menggunakan bas.

Bas yang datang dari laluan Jalan Kebangsaan hendaklah menurunkan peserta di kawasan Jalan Bendahara, Jalan Stoney (dekat Terrace Hotel) Jalan Padang dan Jalan Kumbang Pasang.

Begitu juga bagi bas dari Jalan Tutong/Jalan Gadong yang akan menurunkan peserta di kawasan Jalan Stoney, Jalan Tamu Selera (Gereja St. Andrew) Jalan Bendahara.

Kesemua bas-bas yang membawa para peserta ini akan diletakkan di kawasan letak kereta Masjid Jame Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong ataupun di kawasan letak kereta Taman Jubli.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan jalan-jalan alternatif jika perlu untuk melalui Bandar Seri Begawan, seperti Jalan Lebuh Raya Hasanal Bolkiah, Jalan Tutong hala Jalan Lama Muara, Jalan Kumbang Pasang hala Jalan Menteri Besar/Jalan Sungai Akar dan Jalan Gadong.

ARTIKEL YANG SAMA