Penutupan jal...

Penutupan jalan sempena Perbarisan Hari Kebangsaan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Sempena Upacara Perbarisan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 tahun pada 23 Februari ini, Pasukan Polis Diraja Brunei akan mengawal selia jalan-jalan di kawasan Bandar Seri Begawan (BSB).

Penguasa Kanan Polis, Awang Radin Jofri bin Radin Mas Basiuni memberitahu, jalan-jalan yang akan ditutup pada hari itu nanti adalah, sepanjang Jalan Mc Arthur, Jalan Sultan, kawasan Lampu Isyarat Jalan Roberts, sepanjang Jalan Elizabeth II, Jalan Sumbiling yang menuju ke Balai Polis Pusat BSB, Jalan Stoney, Jalan Sultan, Jalan Pemancha dan sepanjang Jalan Residency menghala ke Kota Batu.

Penutupan jalan-jalan berkenaan akan bermula pukul 6:30 pagi hingga upacara sambutan selesai, beliau mengingatkan orang ramai dalam sidang media Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 di Dewan Citra, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa kawasan tempat letak kereta yang perlu dikosongkan sehari sebelum upacara perhimpunan adalah sepanjang Jalan Tasek, Jalan Kianggeh, Jalan Mc Arthur, Jalan Sultan, Jalan Stoney, Jalan Haji Basir dan Jalan Sekolah.

“Pihak Polis akan mengambil tindakan dengan memindah mana-mana kenderaan yang didapati diletakkan di tempat yang disebutkan iaitu pada malam 22 Februari 2017,” tegasnya.

Beliau seterusnya menambah, beberapa kawasan letak kereta yang dibolehkan untuk orang ramai atau peserta meletakkan kenderaan mereka adalah di sepanjang Jalan Kianggeh menuju ke Hotel Jubilee terus ke Jalan Subok dan sepanjang Jalan Residency menuju ke Bangunan Kesenian dan Pertukangan Tangan terus ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Jalan Subok.

Sehubungan itu, para peserta dan orang ramai diingatkan untuk menggunakan kaedah berkongsi kenderaan atau menggunakan bas yang telah disediakan oleh jabatan masing-masing.

Orang ramai juga diingatkan supaya menggunakan jalan alternatif lain jika perlu untuk melalui BSB seperti Jalan Lebuh Raya Sultan Hassanal Bolkiah, Jalan Tutong hala Jalan Lama Muara, Jalan Kumbang Pasang hala Jalan Menteri Besar atau Jalan Sungai Akar dan Jalan Gadong.

Sementara itu, semasa sesi latihan nanti, kawalan lalu lintas jalan raya ke BSB hanya akan bertumpu di sekitar Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan antara jalan yang terlibat adalah simpang tiga Lampu Isyarat Bangunan Baadiah, Jalan Haji Basir menghala ke Jalan Stoney, Jalan Stoney menghala ke Balai Polis Pusat BSB dan Jalan Sultan menghala ke Menara Jam BSB, Jalan Elizabeth II, Jalan Pemancha dan Jalan Mc Arthur.

Menurut Awang Radin Jofri, kesesakan lalu lintas dari Jalan Tutong hingga ke Batu Satu seterusnya ke BSB akan dijangka berlaku sepanjang sesi latihan perbarisan.

Dalam perkara ini, orang ramai yang tidak terlibat dalam sesi latihan berkenaan diingatkan supaya menggunakan jalan alternatif lain jika perlu untuk melalui BSB.

Di samping itu, Pasukan Polis Diraja Brunei juga mengingatkan orang ramai khususnya peserta, pengawas dan penuntut sekolah supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas dan tidak meletakkan kenderaan persendirian di tempat yang tidak dibenarkan.