Penutupan jalan sempena perbarisan

Penutupan jalan sempena perbarisan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Sempena upacara Istiadat Perbarisan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 pada tahun ini, penutupan dan pengawal seliaan beberapa batang jalan di sekitar Bandar Seri Begawan akan dikuatkuasakan pada 15 Ogos ini.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas yang dikeluarkan di sini hari ini, dalam upacara yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien itu kelak, jalan-jalan akan mula ditutup dan dikawal selia bermula jam 6:30 pagi hingga selesai upacara perbarisan.

Jalan-jalan dikawal selia termasuklah persimpangan lampu isyarat Jalan RIPAS berhadapan dengan Bangunan Hotel Badiah, persimpangan lampu isyarat Mahkamah Besar, persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Basir (hadapan Bangunan Bomba & Penyelamat Bandar Seri Begawan) dan sepanjang jalan lampu isyarat Taman Jubli.

Turut diselia ialah jalan-jalan dan persimpangan lampu isyarat Jalan Bendahara (berdekatan dengan Sekolah Menengah Chung Hwa) termasuklah kawasan lampu isyarat Jalan Jawatan Dalam/Jalan Kebangsaan, Jalan Sekolah /Jalan Tasek/Jalan TV Besar, persimpangan lampu isyarat Jalan Stoney, persimpangan lampu isyarat Jalan Kianggeh (Hotel Jubilee), persimpangan lampu isyarat Jalan Elizabeth 2/Jalan Kianggeh (berdekatan dengan Tokong Cina) dan persimpangan lampu isyarat Jalan Residency/ Jalan Mc Arthur.

Manakala jalan-jalan yang ditutup ialah sepanjang Jalan Mc Arthur/ Jalan Sultan/ kawasan lampu isyarat Jalan Roberts, Jalan Elizabeth 2, Jalan Sumbiling (Jalan menuju ke Balai Polis BSB), Jalan Stoney, Jalan Sultan, Jalan Pemancha dan Jalan Residency menghala ke Kota Batu (berdekatan simpang jalan menuju ke Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan).

Selain itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengosongkan kawasan letak kereta sehari lebih awal (bermula malam 14 Ogos) di kawasan-kawasan sepanjang Jalan Kianggeh/Jalan Mc Arthur dan Jalan Sultan, Jalan Stoney/ Jalan Haji Basir dan Jalan Sekolah serta yang paling penting adalah sekitar Taman Haji Sir Muda Omar Ali Saifuddien. Ia bertujuan memudahkan kontinjen-kontinjen perbarisan untuk beratur sebelum memasuki taman tersebut.

Manakala jalan-jalan alternatif bagi meletakkan kereta termasuklah sepanjang Jalan Kianggeh menuju ke Hotel Jubilee terus ke Jalan Subok, Jalan Residency menuju ke Bangunan Kesenian dan Pertukangan Tangan terus ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Namun, bagi mereka yang ingin pulang cepat, tidak disyorkan untuk meletakkan kenderaan di kawasan tersebut kerana ia dijangka akan dipenuhi dengan kenderaan dan sukar untuk melaluinya menuju ke Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai dan peserta disarankan untuk menggunakan kaedah berkongsi atau ‘car pool’ atau menggunakan bas-bas yang disediakan jabatan masing-masing untuk ke tempat acara.

Pihak polis juga memberi amaran akan memindahkan mana-mana kenderaan yang didapati diletakkan di tempat-tempat larangan pada malam 14 Ogos 2015. Bagi penurunan para peserta yang menggunakan bas pula, bolehlah dibuat di Jalan Bendahara, Jalan Stoney, Jalan Padang dan Jalan Kumbang Pasang, serta Jalan Tamu Selera (Gereja St. Andrews).

Bas-bas ini perlu diletakkan di Kawasan Letak Kereta Masjid Jame’ Asr’ Hassanil Bolkiah, Kiarong selepas menurunkan peserta.

Orang ramai juga dinasihatkan mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas dan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang meletakkan kenderaan di tempat yang ditegah semasa acara berlangsung.

Jika perlu ke Bandar Seri Begawan, bolehlah mengikuti jalan alternatif seperti, Lebuh raya Hassanal Bolkiah, Jalan Tutong hala Jalan Lama Muara, Jalan Kumbang Pasang hala Jalan Menteri Besar / Jalan Sungai Akar dan Jalan Gadong.

ARTIKEL YANG SAMA