Penutupan lap...

Penutupan lapangan terbang Abuja dipersoalkan

ABUJA – Syarikat penerbangan antarabangsa enggan untuk terbang dan mendarat ke sesebuah hab alternatif yang lain apabila satu-satunya lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada Nigeria telah ditutup, memaksa pelancong untuk membuat lencongan yang panjang dengan kos tambahan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja telah ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja pembaikan landasan pada 8 Mac. Penerbangan domestik dan antarabangsa akan dilencongkan ke Kaduna, 170 kilometer dari sini.

Kementerian penerbangan Nigeria telah menyatakan rancangan enam minggu bagi kerja-kerja penurapan yang diperlukan kerana landasan yang dibina pada tahun 1982 dengan jangka hayat 20 tahun, telah ‘usang’ dan ‘tidak selamat’.

Terdapat beberapa laporan bahawa adanya jalan yang berlubang yang telah merosakkan pesawat, menyebabkan sebuah penerbangan antarabangsa untuk membatalkan laluan penerbangannya.

Tetapi Lufthansa, Air France dan South African Airways kesemuanya menyatakan bahawa mereka tidak akan mengubah pendaratan mereka ke Abuja dari Frankfurt, Paris dan Johannesburg, kepada Kaduna atau tempat-tempat lain di Nigeria.

Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja.
Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja.

British Airways dan Turkish Airlines juga belum membuat sebarang keputusan tetapi berkemungkinan mengikut jejak langkah itu, dimana kedua-duanya telah menggantung jualan tiket bagi penerbangan ke Abuja semasa penutupan itu.

Malte Liewerscheidt, penganalisis kanan Afrika bersama dengan perundingan risiko global, Verisk Maplecroft, berkata penutupan lapangan terbang di ibu negara adalah ‘sangat simbolik’.

Nigeria – negara yang mempunyai paling ramai penduduk di Afrika – berada dalam kemelesetan dan terdesak untuk memulihkan inflasi setinggi langit dan mata wang yang lemah yang telah menghalang pelabur dari luar negara.

“Anda mempunyai kerajaan yang tidak membiarkan lapangan terbangnya (hab untuk ke bandar) dibuka. Apakah yang cuba disampaikan disini?” katanya kepada AFP.

“Ini banyak menimbulkan persoalan buat pelabur mengenai aset kerajaan Nigeria.”

Pengurus lapangan terbang Kaduna, Amina Ozi Salami berkata bahawa landasan yang ada di lapangan terbang Kaduna adalah “100 peratus lebih baik” daripada di Abuja. Tetapi keadaan landasan itu bukan satu isu, menurut penganalisis.

Gillian Parker, penganalisis Nigeria di pusat perundingan Kawalan Risiko berkata keengganan untuk membuat laluan-semula menunjukkan bahawa syarikat penerbangan antarabangsa tidak melihat Kaduna sebagai satu “alternatif yang boleh dipercayai”.

Salami berkata kerja-kerja di bangunan terminal, yang dibiarkan pada bulan Mei 2015, telah dimulakan semula dan akan siap – jika kontraktor telahpun dibayar – pada awal bulan depan.

Lapangan Terbang Kaduna.
Lapangan Terbang Kaduna.
Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja telah ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja pembaikan landasan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja telah ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja pembaikan landasan.

Pada masa yang sama, lebih banyak ruang sedang disediakan untuk menyimpan bahan api penerbangan manakala kerajaan negeri sedang berusaha untuk meningkatkan lampu jalan di jalan lapangan terbang dari bandar, katanya.

Jaminan keselamatan secara berterusan telah dijanjikan, serta perkhidmatan ulang-alik bas ke stesen kereta api, di mana kereta api beroperasi ke ibu negara adalah dua kali sehari.

“Petugas di lapangan terbang Abuja akan dikerahkan ke Kaduna,” kata Salami, menuduh mereka yang menentang rancangan itu ‘bermain politik’.

Persoalan masih sama, sama ada Kaduna dapat mengawal penerbangan domestik yang semakin meningkat dan juga adakah penumpang yang mempunyai penerbangan jarak jauh perlu dipindahkan selepas tiba di Lagos dan Port Harcourt di selatan.

“Pembatalan dan kelewatan yang berkaitan dengan syarikat penerbangan domestik, kini kebuluran dana, dan tidak mungkin reda dalam tempoh ini,” kata Psuat Kawalan Risiko, Parker.

“Lapangan Terbang Kaduna, dalam keadaan semasa, mempunyai kurang kelengkapan dan beroperasi tanpa adanya perkhidmatan automatik dan mungkin menghadapi kesukaran dengan tambahan lalu lintas.”

Tiada angka rasmi dinyatakan mengenai kerugian yang dihadapi Abuja sepanjang penutupan lapangan terbang itu selama lebih kurang enam minggu.

Tetapi Presiden Dewan Abuja bagi Perniagaan dan Industri, Tony Ejinkeonye, ​​berkata semua orang yang mempunyai urusan dengan kemudahan itu akan “terjejas teruk”.

Kaduna

Syarikat penerbangan adalah satu-satunya pilihan bagi suatu perjalanan yang cepat ke Nigeria, dimana infrastruktur jalan rayanya yang kurang dan aspek keselamatan telah dipersoalkan.

Pengguna jalan raya dari jalan Abuja ke Kaduna telah menjadi sasaran penculik sementara negeri Kaduna telah menyaksikan beberapa kejadian ganas dalam pertempuran etnik dan perbezaan pendapat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Sebahagian pelancong boleh saja dihalang atau diculik walaupun kerajaan telah menjanjikan tambahan keselamatan di jalan raya. Penambahan pusat pemeriksaan keselamatan akan melambatkan lagi masa perjalanan.

Sebuah kereta sewa yang beroperasi di Abuja berkata perjalanan ke Kaduna adalah bernilai antara 25,000 dan 30,000 naira ($79-95, 74-89 euro) untuk sebuah kenderaan pacuan empat roda, dan 20,000 ke 25,000 naira bagi kereta biasa.

Tetapi harga itu mungkin akan naik dalam tempoh penutupan itu, kata pengendali. Nigeria Railway Corporation telahpun meningkatkan tambang di laluan Kaduna-Abuja sebanyak 25 peratus.

Penumpang kini membayar 1,050 naira untuk tiket standard dan 1,500 bagi tempat duduk eksekutif, yang membawa kepada tuduhan penyelewengan. – AFP