Penutupan sementara sebahagian tempat letak kereta Jalan Residency

Penutupan sementara sebahagian tempat letak kereta Jalan Residency

pg02_160818_b

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya memaklumkan kepada orang ramai terutama penduduk di sekitar kawasan Kg Pintu Malim, Kg Sungai Kebun dan sekitarnya bahawa kerja-kerja menaikkan kubah (dome) bertempat di tapak projek pembinaan Jambatan Sungai Kebun, Jalan Residency akan dilaksanakan pada Sabtu ini, 20 Ogos bermula jam 7:30 pagi.

Sehubungan itu, bagi memastikan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan kubah berjalan dengan lancar di sepanjang tempoh persiapan awal dan tempoh kerja-kerja penaikan kubah, sebahagian tempat letak kereta Jalan Residency akan ditutup sementara bermula pada hari Khamis, 18 Ogos bagi memastikan keselamatan orang ramai di sekitar kawasan tersebut.

Unit Perhubungan Awam, Jabatan Kerja Raya dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai untuk tidak meletakkan kereta berdekatan dengan kawasan tapak projek berkenaan manakala para penumpang bot tambang juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan jeti yang berdekatan dengan tapak projek berkenaan, sebaliknya menggunakan kawasan alternatif untuk mendapatkan bot-bot tambang.

Sementara itu, para penunggang bot juga adalah dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan pembinaan di sepanjang tempoh persiapan awal dan penaikan kubah itu nanti.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi papan-papan tanda arahan yang disediakan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam: 123, Facebook: Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan Email: pro@pwd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA