Penutupan SMK Balung dilanjut

Penutupan SMK Balung dilanjut

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau, Sabah, yang terlibat dengan insiden pendaratan cemas helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa dibenarkan membuat keputusan sendiri sama ada untuk melanjutkan tempoh penutupan sekolah atau sebaliknya.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata keputusan berkenaan boleh diambil berdasarkan situasi semasa di sekolah itu dan pihak sekolah perlu memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya terdapat keperluan melanjutkan tempoh penutupan sekolah.

“Maklumat yang akan diambil ialah terkini yang berlaku pada tempat kejadian. Pada hari kemalangan kita buat keputusan sekolah akan tutup dua hari, dan keputusan seterusnya akan dibuat tertakluk keadaan semasa.

“Sekiranya diperlukan pengurusan sekolah boleh ambil sehari dua kerana ada kerja-kerja pembersihan, apabila kerja pembersihan berlaku, (pihak sekolah) tak mahu pelajar ada di kawasan sekolah kerana tidak mahu ada bencana-bencana lain,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2016, di Auditorium DBP, di sini hari ini.

Hari ini sebuah akhbar tabloid melaporkan SMK Balung masih ditutup berikutan faktor keselamatan dan kerja pengalihan helikopter berkenaan dari kawasan sekolah.

Pengetua SMK Balung, Matnoor Sima dilaporkan berkata, sekolah masih ditutup berikutan faktor keselamatan dan ia berlanjutan sehingga esok. – Bernama