Penyakit Hfmd Meningkat

Penyakit Hfmd Meningkat

Bandar seri begawan, 5 Feb – Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di negara ini dilaporkan semakin meningkat semenjak awal tahun ini.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini mengenai situasi terkini penyakit HFMD itu, menjelaskan melalui pemantauan berterusan sehingga 30 Januari 2016, sebanyak 109 kes dilaporkan, lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu sejumlah 82 kes. Pada tahun ini, 70 peratus daripada semua kes yang telah dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang kebanyakan kes-kes ini memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.

Walau bagaimanapun, tren peningkatan kes HFMD ini merupakan tren kitaran yang konsisten dengan peningkatan kes pada tahun-tahun sebelumnya dan tren yang sama juga dilihat di negara-negara lain.

Menurut kenyataan itu lagi, HFMD merupakan salah satu jangkitan yang sering dihidapi kanak-kanak terutamanya yang berumur di bawah lima tahun. Tanda-tanda penyakit termasuklah demam panas, kurang nafsu makan, merasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak.

Selain itu, kanak-kanak juga akan mengalami luka-luka dan ulser dalam mulut yang kerap melibatkan lidah, gusi dan bahagian dalam pipi. Jangkitan ini disebabkan beberapa jenis virus yang boleh merebak melalui sentuhan tangan atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan.

Anak-anak damit mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti di mana boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.

Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai supaya bersama-sama mengambil langkah-langkah kewaspadaan, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan.

Langkah-langkah yang boleh diambil termasuklah sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air yang bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau apa jua jenis pekerjaan rumah. Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran.

Ibu bapa juga dinasihatkan tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti penyakit HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain. Mereka juga dinasihatkan untuk tidak dibawa ataupun pergi ke tempat awam, seperti pasar raya, kompleks membeli-belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak-anak mereka dengan seberapa segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda penyakit HFMD.

Bagi mengelakkan merebaknya penyakit ini, Kementerian Kesihatan telah pun menasihatkan bagi penutupan sementara beberapa kelas di sekolah-sekolah yang terlibat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, mengikut garis panduan kesihatan awam Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau keadaan kes-kes HFMD dan akan memaklumkan perkembangannya kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Healthline: 145ataupun melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA