Penyakit jantung pembunuh No.1 wanita Australia

Penyakit jantung pembunuh No.1 wanita Australia

MELBOURNE, 11 Okt – Penyakit jantung, bukan penyakit barah adalah pembunuh nombor satu para wanita di Australia, menurut satu kajian.

Kajian itu, yang dijalankan oleh institusi Kesihatan Mary Mckillop di Universiti Katolik Austraila (ACU) di Melbourne adalah yang pertama menilai impak penyakit jantung dengan menimbangkan penyakit berkaitan seperti diabetes dan kegagalan buah pinggang selain serangan jantung dan strok.

Dengan kegagalan buah pinggang dan diabetes termasuk, Laporan Penyakit dan Risiko Kardiovaskular dalam Wanita-Wanita Australia mendapati bahawa penyakit jantung menyumbang kepada lebih 31,000 kematian dalam kalangan wanita-wanita Australia setiap tahun. Dalam perbandingan, 12,000 orang wanita terbunuh di Australia tahun lalu oleh bentuk biasa barah, termasuklah barah payu dara.

Maja-Lisa Lochan, salah seorang ketua penyelidik laporan itu berkata penyakit jantung menyumbang kepada 3,000 insiden yang mana wanita meninggal dunia sebelum tiba di hospital, satu trend yang menurutnya disebabkan wanita tidak mengenali simptom serangan jantung.

“Mereka kerap berpendapat ia adalah asma, keletihan, demam dan kerap berkaitan dengan penyakit lain selain dari penyakit jantung,” Lochan memberitahu ABC hari ini. “Mereka mengelak mendapatkan rawatan, lebih kerap dari lelaki.”

Lochan berkata bilangan kematian yang ramai dapat dicegah jika faktor-faktor penyebab ditangani.

“Sekitar 60 peratus punca penyakit jantung ke atas diri wanita dan isu-isu berkaitan boleh dicegah,” kata Lochan hari ini.

“Punca utama ialah kolesterol tinggi, diabetes jenis dua, tekanan darah tinggi dan merokok.

“Ia berkaitan dengan pemakanan Australia, yang mengandungi kandungan gula tinggi. Semua risiko ini berkaitan dengan gaya hidup dan keadaan yang boleh dirawat.”

Laporan itu menganggarkan kos tahunan penjagaan hospital berkaitan penyakit kardiovaskular bagi wanita ialah AS$2.2 bilion, satu angka yang menurut Lochan boleh dikurangkan jika kerajaan melabur lebih banyak wang dalam kempen kesedaran dan program pencegahan. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA