Penyakit mental dijangka kedua tertinggi

Penyakit mental dijangka kedua tertinggi

KANGAR, 1 Julai (Bernama) – Penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi yang dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020, kata Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di sini, Dr Ruzita Jamaluddin.

Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan yang pada tahun 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

“Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan apabila jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.

“Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang memilih untuk tidak mendapatkan sebarang rawatan atau hanya merawat secara tradisional,” katanya.

Dr Ruzita berkata demikian semasa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Menangani Stigma Penyakit Mental’ pada Seminar Kesedaran Minda Sihat Kepada Ketua-ketua Jabatan UniMAP di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, di sini hari ini.

Masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental di mana akhir-akhir ini akhbar tempatan kerap melaporkan banyak kes bunuh diri, terjun bangunan, mencederakan diri atau orang lain, kata Dr Ruzita.

“Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan oleh tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan untuk mencederakan atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera,” katanya.

Sehubungan itu perkara ini amat memerlukan penglibatan dan peranan masyarakat agar membuang stigma negatif mengenai pesakit mental sebaliknya memberi peluang kepada pesakit untuk berada dalam masyarakat.

“Usah sisihkan mereka kerana mereka ini sakit, tetapi bantu mereka mencari diri mereka dengan bantuan rawatan dan pengambilan ubat yang bersesuaian agar mereka pulih seperti sedia kala,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA