Penyampaian wakaf, majlis tadarus KSSUP

Penyampaian wakaf, majlis tadarus KSSUP

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Rombongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini, telah meneruskan majlis bertadarus di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, yang diselajurkan dengan berbuka puasa dan penyampaian wakaf.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, serta para pegawai kanan dan kakitangan di kementerian berkenaan.

Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan kementerian yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan dengan jemaah masjid serta penduduk kampung.

Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyampaikan sumbangan wakaf berupa kipas angin kepada imam masjid berkenaan.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyampaikan sumbangan wakaf berupa kipas angin kepada imam masjid berkenaan.
Semasa Majlis Tadarus bersempena bulan Ramadan yang berlangsung di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.
Semasa Majlis Tadarus bersempena bulan Ramadan yang berlangsung di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan penyampaian wakaf berupa empat unit kipas angin berdiri bagi kegunaan masjid berkenaan, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato dan diterima oleh imam masjid berkenaan.

Kemudian majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato, diikuti dengan tadarus Al-Quran dan seterusnya berbuka puasa sebelum diakhiri dengan solat fardu Maghrib berjemaah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, rombongan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya akan meneruskan majlis bertadarus pada 21 Jun nanti di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

ARTIKEL YANG SAMA