Penyampaian Waqaf Ilmu Jabatan Mufti

Penyampaian Waqaf Ilmu Jabatan Mufti

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Azrol Azmi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Majlis Penyampaian Waqaf Ilmu Jabatan Mufti Kerajaan bagi tahun 2015 bermula dari Januari hingga bulan Jun 2015 berjumlah $19,648.95 daripada 110 pewakaf berlangsung hari ini, di Darul Ifta, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Jalan Babu Raja.

Majlis berkenaan adalah sebahagian usaha Jabatan Mufti Kerajaan dalam menyebarkan ilmu Islam dan memberi peluang umat Islam di semua peringkat untuk sama-sama menyebarkan ilmu, Jabatan Mufti Kerajaan melalui Bahagian Penerbitan dan Penerangan menyediakan pakej wakaf buku terbitannya sejak 2002.

Pada awalnya pakej berkenaan dikenali sebagai “Wakaf Buku Jabatan Mufti Kerajaan” kemudian ditukar menjadi “Wakaf Ilmu” pada 2013. Pakej ini memberi peluang kepada umat Islam untuk berwakaf dan beramal jariah dengan niat kerana Allah dalam bentuk buku (ilmu) kepada perpustakaan, masjid, institusi pengajian dan pusat-pusat rujukan awam.

Menurut kenyataan Jabatan Mufti Kerajaan, pakej wakaf ini telah diperkenankan pengendaliannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2002.

Sejak ia dilaksanakan, banyak perpustakaan awam, masjid dan institusi pendidikan di dalam dan luar negara telah mendapat manfaat besar memiliki koleksi buku-buku terbitan jabatan ini.

pg03_150708_b

Yang Berhormat Pehin menyampaikan buku-buku Wakaf Ilmu kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan buku-buku Wakaf Ilmu kepada salah seorang penerima.

Bagi tahun ini sahaja, sebanyak lapan pilihan pakej wakaf telah disediakan dengan harga pakej terendah $41 bagi sepuluh buah buku yang ditentukan.

Setiap tahun pakej wakaf ilmu ini mendapat sambutan daripada orang ramai dengan pertambahan penyertaan yang amat menggalakkan. Sejak tiga tahun kebelakangan, sebanyak 410 pakej wakaf diagihkan dengan jumlah pewakaf seramai 189 orang, iaitu pada tahun 2012 sebanyak 145 pakej dengan jumlah pewakaf seramai 50 orang, pada 2013 sebanyak 65 pakej dengan jumlah pewakaf seramai 38 orang dan pada 2014 sebanyak 200 pakej dengan jumlah pewakaf 101 orang.

Daripada jumlah 410 pakej ini, 104 pakej wakaf telah diagihkan ke luar negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura atas permintaan pewakaf.

Sebahagian buku wakaf telah disampaikan sebelum ini terutama wakaf untuk luar negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Pada majlis hari ini, sebahagiannya disampaikan kepada 59 penerima iaitu 26 buah masjid dan surau, 31 institusi pendidikan dan dua pertubuhan persendirian.

Hadir menyampaikan buku-buku wakaf berkenaan ialah tetamu kehormat majlis, Mufti Kerajaan Brunei, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah, pegawai-pegawai dan kakitangan di jabatan berkenaan dan para jemputan serta para penerima buku wakaf ilmu. Tidak ketinggalan juga, majlis diserikan dengan ceramah khas mengenai wakaf dan kelebihannya yang disampaikan oleh, Haji Mohd Sofian bin Haji Awang Tengah.

ARTIKEL YANG SAMA