Penyanyi Brunei sertai Konsert Mini Amal Dangdut Asia

Penyanyi Brunei sertai Konsert Mini Amal Dangdut Asia

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Seorang warga Brunei Darussalam yang berbakat dalam bidang nyanyian telah dijemput bagi mengikuti Konsert Mini Amal Dangdut Asia yang akan berlangsung pada 23 September di Kuala Lumpur, Malaysia.

Awang Fadli bin Haji Nasu atau lebih dikenali sebagai Dzuflee telah dipelawa oleh Penerbit Album Dangdut Asia D’or Entertainment, Sharil Shaari atau lebih dikenali sebagai Dior untuk mengikuti mini konsert berkenaan.

Dangdut Asia merupakan kompilasi dangdut terkini yang diterjemahkan dalam cakera padat audio dan konsert mini.

Neway dengan kerjasama D’or Entertainment (Penerbit Album) akan merealisasikan Konsert Mini Dangdut Asia itu yang bertemakan ‘One Asia’ sebagai pemangkin kepada industri muzik dangdut di Malaysia.

Program berkenaan juga dilihat dapat menggalakkan anak-anak muda berkarya, selain sebagai platform untuk industri muzik Malaysia melangkah lebih ‘Asia’ dengan menggabungkan semua artis dangdut dari empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Dzuflee(kanan) ketika bersama dengan Dior (kiri) dan Rafik (Pengatur Muzik, Studio RafiKonsep) ketika rakaman album ‘Malu-Malu Kucing’.
Dzuflee(kanan) ketika bersama dengan Dior (kiri) dan Rafik (Pengatur Muzik, Studio RafiKonsep) ketika rakaman album ‘Malu-Malu Kucing’.
Dzuflee, seorang penyanyi yang dikenali melalui aplikasi ‘Smule’ telah dipilih untuk mengikuti Konsert Mini Amal Dangdut Asia yang akan berlangsung pada 23 September ini di Kuala Lumpur, Malaysia.
Dzuflee, seorang penyanyi yang dikenali melalui aplikasi ‘Smule’ telah dipilih untuk mengikuti Konsert Mini Amal Dangdut Asia yang akan berlangsung pada 23 September ini di Kuala Lumpur, Malaysia.

Dzuflee ketika ditemui Media Permata di salah sebuah restoran di Batu Bersurat, Gadong, hari ini, menjelaskan bahawa beliau akan diterbangkan ke Malaysia pada 22 hingga 25 September ini bagi membuat promosi single terbaru Dzuflee iaitu ‘Malu-Malu Kucing’, telah ditulis dan dicipta oleh Dior yang bergenre Dangdut Jazz, Broadway dan Latin, dan diteruskan dengan Mini Konsert Amal Dangdut Asia pada 23 September, di Garden Theatre, Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Dior telah mempelawa saya setelah saya bergiat aktif dalam mengikuti satu aplikasi nyanyian iaitu ‘Smule’. Bermula dari sana, penerbit tersebut (Dior) menyedari bakat yang ada pada saya dan mempelawa saya untuk membuat single yang akan dimuatkan dalam kompilasi Dangdut Asia,” jelas Dzuflee, yang tinggal di Kampung Pandan, Kuala Belait.

Dzuflee juga menyuarakan harapan beliau agar lagu ‘Malu-Malu Kucing’ akan dapat diterima oleh semua para pendengar yang berada di Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura nanti.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terkini mengenai Dzuflee, bolehlah ikuti beliau melalui media sosial sama ada melalui Instagram di @Dzufleeofficial atau laman Facebook, Dzuf Lee.

ARTIKEL YANG SAMA