Penyatuan masyarakat melalui seni kraf

Penyatuan masyarakat melalui seni kraf

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Delegasi seramai lima orang termasuk ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK), baru-baru ini, telah menyertai Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang berlangsung di Kraf Kompleks Kuala Lumpur, Malaysia, bermula 10 hingga 13 September lalu.

Rombongan yang diketuai oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Daerah Tutong, Dayang Siti Joriahati binti Johari itu disertai Haji Junggal bin Jumat dari MPK Putat, Haji Ishak bin Kassim dari MPK Lumut ll, Dayang Nilam binti Lundu dari MPK Bukit, Daerah Tutong dan Dayang Roslind Njeng anak Jalak dari MPK Tanjung Bungar, Daerah Temburong.

Festival bertema ‘Kraf Menyatukan Masyarakat’ itu merupakan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Malaysia, yang bertujuan mempromosikan produk kraf dari Malaysia dan lima benua iaitu Asia dan ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam, Eropah, Afrika, Amerika dan Ocenia.

Para pelajar Sekolah Rendah Negeri Sembilan, Malaysia, antara pengunjung yang singgah menyaksikan secara lebih dekat hasil produk kraf tangan tempatan Negara Brunei Darussalam di festival berkenaan.
Para pelajar Sekolah Rendah Negeri Sembilan, Malaysia, antara pengunjung yang singgah menyaksikan secara lebih dekat hasil produk kraf tangan tempatan Negara Brunei Darussalam di festival berkenaan.

Ia diadakan buat julung-julung kalinya sebagai platform yang sangat bermanfaat kepada delegasi Negara Brunei Darussalam khususnya para pengusaha kraf tangan tempatan dari MPK di keempat-empat daerah untuk membuka minda mereka dan mengetengahkan hasil kraf tangan tradisi warisan Brunei yang bermutu tinggi. Selain itu, ia juga memberi peluang untuk mempamerkan dan menjual produk kraf tangan mereka bersama produk-produk kraf dari negara-negara luar.

Melalui festival itu, delegasi negara turut berpeluang untuk mempelajari bagaimana meningkatkan kualiti pembuatan kraf tangan mereka agar setanding dengan kualiti yang dihasilkan oleh negara-negara antarabangsa.

Festival itu juga dapat mengetengahkan produk kraf tangan negara ini di mata antarabangsa, sekali gus mengangkat martabat program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang diinspirasikan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan didokong bersama oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dalam usaha mempelbagaikan hasil negara. serta menjadi salah satu alternatif untuk meningkatkan pendapatan negara.