Penyebaran dakwah boleh dilakukan melalui media sosial

Penyebaran dakwah boleh dilakukan melalui media sosial

Oleh Siti Lizawati Mhd

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Penyebaran dakwah boleh sahaja dilakukan melalui penyebaran media sosial seperti aplikasi Instagram, Snap Chat dan sebagainya.

Ini adalah kerana ia akan mudah diikuti oleh orang ramai dan bertujuan untuk mencapai matlamat agar dakwah yang diberikan sampai kepada orang ramai.

Perkara ini dinyatakan oleh Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Peranan pelajar dalam menyebarkan Dakwah masa kini dan akan datang’ di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan khusus bagi mahasiswa-mahasiswi baru yang mengikuti Minggu Ta’aruf KUPU SB ke-10.

Beliau seterusnya berkata, bagi mereka yang berpendapat seorang daie (orang yang berdakwah) yang menyampaikan dakwah melalui aplikasi Instagram, Facebook adalah mereka yang ingin mengejar populariti, maka mereka adalah orang yang ‘Fii qulubihim maradun’ bererti di dalam hati mereka ada penyakit.

Bahkan dengan adanya bantuan media sosial ini dapat menolong seseorang daie itu menyampaikan ceramahnya bukan sahaja di dalam negara bahkan ia juga boleh dilihat dan didengar di luar negara secara langsung, tekan beliau lagi.

Beliau juga mengatakan bahawa dalam menyampaikan dakwah mestilah akan menghadapi pelbagai cabaran. Perkara penting yang mesti ada dalam diri seseorang ialah sifat ikhlas dan istiqamah, seseorang itu mestilah beradab dan berakhlak apabila hendak menyantuni seseorang.

“Apabila melihat perkara mungkar hendaklah menyantuni seseorang itu secara beradab dan berakhlak yang penting berusaha dalam menyebarkan dakwah dengan baik. Sekiranya tidak dapat membawa seseorang itu ke arah kebaikan kepada Allah maka janganlah pula kita yang menjauh daripada Allah,” ujarnya.

Majlis ceramah berkenaan bertujuan untuk mengajar menjadi seorang pembimbing dalam menyampaikan dakwah dengan baik, yang mana ia merupakan tanggungjawab besar dalam membimbing anak-anak Brunei dan juga merupakan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei sebuah negara zikir.

ARTIKEL YANG SAMA