Penyebaran maklumat semakin pantas

Penyebaran maklumat semakin pantas

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Proses penyampaian dan perkongsian ilmu pengetahuan telah melalui perkembangan yang amat pesat di mana kewujudan teknologi canggih telah membawa kepada penyebaran serta perkongsian ilmu pengetahuan melepasi sempadan politik, bangsa, budaya dan bahasa.

Dengan penyebaran maklumat yang lebih cepat dan mudah itu serta perkembangan teknologi baru termasuk teknologi 5G, ia mengundang lebih banyak persoalan serta isu termasuk sekuriti data dan hak harta intelektual.

Perkembangan baru itu, akan merevolusikan lagi kaedah bagi manusia dan mesin untuk mengakses serta menggunakan maklumat untuk berinteraksi dan melaksanakan fungsi masing-masing di mana semua itu membawa kepada kewujudan cabaran-cabaran yang baru dalam memelihara budaya, tradisi, bahasa dan agama.

Perkara itu antara yang disentuh dalam kertas kerja bertajuk ‘The evolution of the conveyance and sharing of information’ dan ‘Data towards global human knowledge cilivilization in the past, present and future’, oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Info-Komunikasi dan Teknologi Brunei Darussalam (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak yang dibentangkan bagi pihaknya oleh Timbalan Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa (tengah) yang menghadiri sesi pembentangan itu.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa (tengah) yang menghadiri sesi pembentangan itu.

Sesi pembentangan kelima Simposium Majlis Ilmu 2016 yang membawa tema kecil ‘Strategi dan Peranan Sistem Perhubungan’ yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, turut dihadiri oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Dalam pembentangan itu juga, beberapa kesimpulan yang dikemukakan ialah evolusi komunikasi telah membawa kepada isu-isu dan cabaran-cabarannya yang tersendiri, akan membawa kepada masa depan di mana semua benda akan disambung melalui M2M dan IoT (Internet of Things).

Oleh itu, para pihak pengawal selia harus sedar dan bersedia untuk menangani pelbagai isu yang akan datang termasuk privasi data, data sekuriti dan data standard.

ARTIKEL YANG SAMA