Penyediaan rangka bagi penyelidikan pertanian ASEAN

Penyediaan rangka bagi penyelidikan pertanian ASEAN

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), tahun ini menghoskan Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal mengenai Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian ASEAN (ATWGARD) ke-11 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Perasmian mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

Objektif Mesyuarat ATWGARD ini adalah untuk menyediakan input dasar bagi membuat keputusan mengenai penyelidikan dan pembangunan pertanian ASEAN dan untuk menyediakan rangka kerja bagi keutamaan penyelidikan dan pembangunan pertanian ASEAN.

Di samping itu juga, untuk memudahkan kerjasama dengan badan-badan ASEAN yang sedia ada bagi rangkaian antara kerajaan, bantuan teknikal, dan perkongsian pengetahuan dalam penyelidikan dan pembangunan pertanian.

Dr. Haji Abdul Manaf bergambar ramai bersama peserta mesyuarat tersebut.
Dr. Haji Abdul Manaf bergambar ramai bersama peserta mesyuarat tersebut.

Agenda utama Mesyuarat ATWGARD ke-11 adalah untuk membincangkan Pelan Tindakan Strategik bagi Kerjasama ASEAN dalam Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (2016-2020) mengenai teras strategik wawasan baru bagi Makanan, Pertanian dan Perhutanan (2016-2025).

Selain itu, bagi membincangkan perkembangan aktiviti dalam Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (ARD), termasuklah aktiviti-aktiviti di bawah ASEAN Climate Resilience Network (ASEAN-CRN), dan pembangunan teknologi sensor bio bagi pengawasan kualiti makanan dan hasil pertanian di negara-negara ASEAN.

Turut disentuh adalah mengenai pelaksanaan projek pengurangan kerugian lepas tuai bagi hasil pertanian, dan produk-produk serta promosi tenaga biojisim komuniti bagi pembangunan komuniti pertanian dan luar bandar yang dibiayai oleh Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF) bersama Dana Inovasi Pertanian dan R&D ASEAN (AIRDF).

Mesyuarat itu diharapkan dapat mencapai hasil signifikan yang akan dapat menyumbang kepada persetujuan negara-negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat antarabangsa dengan kerjasama rakan dialog dan organisasi antarabangsa.

Turut hadir pada majlis perasmian mesyuarat itu ialah Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Khartini binti Haji Musa, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan delegasi mesyuarat dari negara-negara ASEAN serta wakil-wakil dari Sekretariat ASEAN, Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) dan Persatuan Institusi Penyelidikan Pertanian Asia Pasifik (APAARI) yang menghadiri mesyuarat berkenaan.