Penyeksaan berleluasa di timur Libya – HRW

Penyeksaan berleluasa di timur Libya – HRW

TRIPOLI, 18 Jun (Reuters) – Kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa dan tenteranya melakukan penahanan dengan sewenang-wenangnya serta penyeksaan di penjara wilayah timur negara itu, menurut Human Rights Watch (HRW) semalam.

Empat tahun selepas kejatuhan Muammar Ghadafi, Libya berada dalam keadaan kacau-bilau dengan dua kerajaan yang saling bersengketa – yang diiktiraf berpangkalan di timur dan sebuah lagi yang mengawal Tripoli.

Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, kumpulan yang berpangkalan di New York itu berkata pada Januari dan April 2015 ia memperoleh akses yang jarang diberikan ke atas pusat tahanan di al-Bayda dan Benghazi yang dikawal oleh tentera Libya dan Kementerian Keadilan serta Kementerian Dalam Negeri, dan menemu ramah 73 tahanan tanpa kehadiran pengawal penjara.

“Ramai kalangan tahanan berkata para penyiasat memaksa mereka untuk membuat pengakuan mengenai jenayah serius,” kata laporan itu.

Laporan itu berkata para tahanan menceritakan salah laku lain termasuk tidak menyediakan penjagaan perubatan, tidak memaklumkan anggota keluarga mengenai sebarang penahanan serta keadaan yang tidak memuaskan di pusat tahanan itu sendiri.

Para warden di penjara Kawaifiya di Benghazi dan Ghernada di wilayah al-Bayda menolak semua dakwaan tersebut.

“Dakwaan penyeksaan dan semua lain yang disebut dalam laporan oleh HRW adalah semuanya tidak betul,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“Kami, para warden di penjara Kawaifiya dan Gheranda, menjemput anggota media untuk melawat penjara serta bertemu dengan para tahanan, membuat laporan dan menilai keadaan yang sebenar.” Menurut laporan itu lagi, para tahanan turut mendakwa mereka dipukul dengan batang paip plastik, kabel elektrik, rantau atau kayu.