Penyelam Jerman maut di Atol Bikini

Penyelam Jerman maut di Atol Bikini

MAJURO, Kepulauan Marshall, 23 Sept (AFP) – Seorang penyelam Jerman telah menemui ajal ketika menjelajahi Atol Bikini yang terkenal di Pasifik, menurut para pegawai semalam, kematian pertama pengunjung di bekas tapak ujian nuklear sejak ia dibuka kepada para pelancong pada tahun 1996.

Penyelam berusia 75 tahun itu yang dipercayai dari Berlin, menyelam di kapal Perang Dunia Kedua Isnin lalu apabila dia terpisah dari kumpulannya, menurut ketua penyelamat tempatan Martin Daly.

Pasukan pencari di atol yang terletak di utara Kepulauan Marshal menemui mayat lelaki itu semalam di dasar lagun berhampiran badan kapal pengangkut pesawat udara USS Saratoga.

Menurutnya kelihatan lelaki tersebut mengalami “sejenis insiden penyakit, mungkin serangan jantung atau strok. Tangkinya 75 peratus penuh udara apabila ditemui.”

Perhubungan kerajaan tempatan Bikini, Jack Niedenthal berkata itu adalah kali pertama seorang juruselam menemui ajal di sana sejak atol itu mula dipromosikan sebagai destinasi penyelaman dan pelancongan 19 tahun lalu.

Bikini adalah tapak 24 ujian nuklear Amerika pada tahun 1940-an dan 1950-an, termasuklah armada kapal tentera laut AS dan Jepun yang karam.