Penyelam kumpul bukti penembakan California

Penyelam kumpul bukti penembakan California

SAN BERNARDINO, California 13 Dis (Reuters) – Para penyelam FBI melancarkan usaha mencari di dasar tasik San Bernardino semalam bagi hari ketiga, dalam mencari bukti berkaitan pasangan suami isteri yang telah membunuh 14 orang pada satu pesta percutian, yang dianggap oleh biro itu tindakan ganas yang mendapat inspirasi dari Kumpulan Islamic State (IS).

Jurucakap wanita Biro Penyiasatan Persekutuan Laura Eimiller berkata dalam e-mel para penyelam telah mengutip objek-objek dari Tasik Seccombe, seperti yang mereka lakukan pada hari sebelumnya. Tetapi dia enggan menyatakan apakah objek itu atau sama ada objek itu mempunyai kaitan dengan penembakan beramai-ramai tersebut.

Tasik San Bernardino yang terletak di taman awam, kira-kira 4 km utara tempat penembakan, dipercayai penuh dengan barang-barang lama dan serpihan-serpihan.

Para pegawai AS berkata penyiasatan mereka belum menjumpai bukti bahawa militan-militan asing telah mengarahkan Syed Rizwan Farook, 28 tahun atau Tashfeen Malik, 29 tahun, apabila pasangan suami isteri itu menyerang perkumpulan percutian rakan-rakan sekerjanya di pusat serantau di San Bernardino pada 2 Disember dan melepaskan tembakan dengan raifal.

Penyelam FBI ketika menjalankan siasatan dalam air Taman Tasik Seccombe selepas penembakan awal bulan ini di San Bernardino, California pada 11 Disember. – Reuters
Penyelam FBI ketika menjalankan siasatan dalam air Taman Tasik Seccombe selepas penembakan awal bulan ini di San Bernardino, California pada 11 Disember. – Reuters

Pasangan suami isteri itu telah menembak mati 14 orang dan mencederakan lebih 20 orang dalam satu amukan yang menurut FBI disifatkannya sebagai tindakan keganasan yang mendapat inspirasi dari militan-militan kumpulan IS. Jika disahkan, ia akan menandakan serangan seumpamanya yang paling berbahaya di bumi AS sejak 11 September 2001.

Farook, kelahiran AS dari pasangan penghijrah Pakistan, dan Tashfeen, adalah berasal dari Pakistan yang dikahwininya tahun lalu di Arab Saudi, telah terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan pihak polis beberapa jam selepas serangan mereka di San Bernardino, 100 km timur Los Angeles.

Menurut FBI, CNN dan media lain melaporkan para penyelam FBI di tasik itu sedang mencari pemacu keras komputer milik pasangan suami isteri itu, tetapi Eimiller enggan mengesahkannya.

Pencarian dalam air itu bermula dari petunjuk yang menunjukkan Farook dan isterinya telah berada di kawasan tasik Seccombe pada hari pembunuhan.

ARTIKEL YANG SAMA