Penyelenggaraan paip di Kg Perpindahan Mata-mata

Penyelenggaraan paip di Kg Perpindahan Mata-mata

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR) memohon maaf kepada penduduk di Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong dan kawasan sekitarnya, atas kesulitan yang diakibatkan berikutan gangguan bekalan air di kawasan berkenaan, baru-baru ini.

JKR dalam kenyataannya menjelaskan, gangguan berkenaan adalah disebabkan kejadian kebocoran paip beberapa sebelumnya pada paip keluli 200mm yang membekalkan air boleh diminum ke tangki simpanan utama di Kampung Perpindahan Mata-Mata bagi menampung kawasan rancangan perumahan negara dan sekitarnya.

Masalah berkenaan telah dikenali pasti disebabkan oleh kakisan pada paip lama yang mengakibatkan kebocoran di beberapa lokasi paip sepanjang 200 meter itu, yang ditanam lebih daripada semeter di bawah jalan utama dekat sekolah rendah kawasan perumahan berkenaan.

Pasukan penyelenggaraan telah dikerahkan untuk memulakan kerja-kerja pembaikan sejurus selepas kejadian pertama dilaporkan. Pasukan berkenaan terpaksa mengambil masa yang lama dan sukar untuk mengesan beberapa bahagian paip yang bocor untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan.

Meskipun telah bekerja sepanjang malam, disebabkan lokasi paip yang terletak di bawah jalan raya, kebocoran berulang dan faktor-faktor lain yang tidak dapat dielakkan, termasuk kesesakan jalan raya, kerja-kerja pembaikan telah mengambil masa yang lebih lama daripada yang dijangkakan.

Dalam usahanya untuk memastikan ketahanan sistem dan aset-aset bekalan air, dan bekalan air yang boleh dipercayai dan berterusan, Jabatan Perkhidmatan Air dalam tahun-tahun kebelakangan ini telah merumuskan penyelesaian jangka panjang kepada masalah paip air.

ARTIKEL YANG SAMA